Pemilik Perak, Impact Media and Communications Sdn Bhd (IMC) bersetuju untuk melepaskan pasukan itu kepada pemilik baharu tanpa sebarang dokumen mengenai proof of funds.

Wakil IMC, Muhammad Yunus Zakariah berkata pihaknya membuat keputusan itu selepas desakan kuat daripada peminat yang mahu pasukan segera diambil alih oleh pemilik baharu.

Perak
Sumber Gambar: Perak FC

“Kami dah kena tekan dengan penyokong semua yang berasa yakin dengan bakal pembeli ni, tambahan pula mereka (bakal pembeli) juga dah jumpa pihak MFL (Malaysian Football League).

“Jadi saya rasa lebih baik kami serahkan saja walaupun mereka tak serahkan proof of funds. Mungkin kami akan cadang untuk teruskan dengan pengambilalihan,” katanya menurut laporan Majoriti.

Tambah Yunus, pihaknya akan cuba menyelesaikan pengambilalihan itu sebelum 14 hari bulan ini, iaitu sebelum pemotongan sebanyak enam mata dilaksanakan oleh pengelola Liga Malaysia iaitu Malaysian Football League (MFL).

“Apa yang kami tahu adalah peminat desak kami untuk lepaskan, dan mereka cakap bakal pembeli baharu ini lebih layak,” tambahnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam sebelum ini mendedahkan Perak kini berdepan risiko untuk disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia 2022 sekiranya gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pada 31 Mac lalu.

Skuad The Bos Gaurus itu sebenarnya mempunyai dua isu yang perlu diselesaikan melibatkan tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan pada musim 2021 dan juga musim 2022.

Bagi meringankan beban pasukan, Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mendedahkan beliau ada memberi sedikit sumbangan kepada pengurusan Perak untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pemain dan pegawai pasukan itu.

“Baru-baru ini saya ada bantu Perak FC, tiga hari lepas pengurusan Perak FC ada datang berjumpa saya dan saya ada bagi sedikit sumbangan dan bantuan.

“Saya tak boleh cakap berapa (jumlah), tapi saya ada bagi sedikit bantuan untuk kurangkan beban Perak FC dan saya harap masalah itu (tunggakan gaji) boleh mereka selesaikan dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang media ketika melawat Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

Maloney Tidak Berminat Senaraikan Dua Pemain Lebih Umur Dalam Skuad Sukan SEA

Risau Didenda, Bojan Hodak Tahan Diri Daripada Kritik Mutu Pengadilan

P.Maniam Tak Sangka PJ City Mampu Tewaskan Terengganu