Bintang Newcastle United, Allan Saint-Maximin bukan sahaja menjadi kesayangan penyokong kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu di dalam padang tetapi kehidupannya ketika di luar juga turut mendapat pujian ramai.

Hal ini kerana pemain kelahiran Perancis itu cukup terkenal dengan sifat pemurahnya serta sikap ramah yang ditampilkannya ketika berhadapan dengan para penyokong.

Terbaharu ketika menghadiri acara anjuran Helios Pantheon (koleksi NFT) di sebuah kedai barangan permainan, Saint-Maximin dengan mesra melayani kanak-kanak di premis tersebut.

Malah seperti video yang dipaparkan oleh saluran Youtube Helios Pantheon, Saint-Maximin turut memberikan wang untuk membelikan apa sahaja yang kanak-kanak itu mahukan.

Selain itu turut kelihatan beliau memberikan tiket perlawanan kepada salah seorang peminat yang hadir untuk mendapatkan tandatangannya pada acara tersebut.

“Ini merupakan impian saya ketika saya masih kecil. Untuk membeli semua barang permainan yang saya mahukan di dalam kedai, sayangnya saya tidak mendapat peluang seperti itu.”

“Jadi, saya benar-benar mahu memberikan peluang ini kepada kanak-kanak yang hadir ke acara Helios ini,” ujar Saint-Maximin di laman Twitter peribadinya.

Sikap pemurah serta tidak penat melayani kerenah peminat dengan baik membuatkan netizen begitu menyanjungi sifat beliau sehingga mendapat pujian di media sosial.

Menyertai Newcastle United pada musim 2019/20 selepas memilih untuk meninggal OGC Nice, Allan Saint-Maximin telah membuat 97 penampilan bersama The Magpies dengan menjaringkan 13 gol dan mencipta 18 bantuan jaringan.