Pemain Tajikistan memakai jersi nombor 20, Ziyovuddin Fuzaylov yang mengalami kecederaan serius semalam disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Tajikistan tidak mengalami patah tulang kaki.

Dari keputusan imbasan ujian MRI yang dibuat, Ziyovuddin Fuzaylov mengalami ‘ankle dislocation’ dan tiada sebarang ‘fracture’ berlaku pada tulang kaki (tibia dan fibula) beliau.

Imej tersebut telah dimuat naik di laman sosial Facebook Persatuan Bola Sepak Tajikistan beberapa jam yang lalu bagi merungkaikan gambar-gambar yang tular menyatakan Ziyovuddin Fuzaylov patah kedua-dua tulang kakinya.

Selepas menerima rawatan, beliau kelihatan tenang dan bersemangat memberikan kata-kata untuk rakan sepasukan walaupun suaranya masih lagi kedengaran seperti menahan kerisauan.

Insiden itu berlaku apabila pemain Malaysia, Nabil Hakim melakukan satu terjahan dan kaki pemain Tajikistan itu tersepit dicelah paha dan rapat ke tanah.

Momentum dari pergerakan Nabil Hakim seterusnya mengakibatkan buku lali pemain pertahanan Tajikistan itu mengalami ‘dislocation’ walaupun pada kejadian itu berlaku ia kelihatan seperti patah tulang kaki.

Kecederaan yang sama juga pernah dialami oleh pemain Manchester United, Alan Smith suatu ketika dahulu.

Apa pun, kita harapkan kecederaan ini tidak akan menganggu perjalanan karier bola sepak Ziyovuddin Fuzaylov dan beliau dijangka akan pulih selepas 2 bulan setengah.