Bersempena sambutan Tahun Baharu Cina, Perak FC telah mengeluarkan iklan khas yang jelas mencuri tumpuan peminat bola sepak tanah air apabila turut menampilkan Tan Cheng Hoe dalam video tersebut.

Penampilan khas Cheng Hoe itu diserikan lagi dengan babak percanggahan pendapatnya dengan ketua jurulatih Perak, Lim Teong Kim berhubung dengan kegagalan Jerman melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia 2022.

Lebih menarik, pertelingkahan melibatkan kedua-dua rakan itu berakhir dengan kehadiran legenda badminton negara, Koo Kien Keat.

Pada babak akhir iklan ini turut menampilan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC iaitu BobieĀ Farid Shamsudin bersama pemain skuad Liga Super mereka iaitu Sunday Afolabi, Bryan See, Sunil Chandran, Raja Imran Shah Raja Amin dan Fahmi Daniel.

Inisiatif diambil unit media Perak FC boleh dianggap di luar kotak pemikiran penyokong kerana seperti diketahui Perak dan Selangor merupakan musuh tradisi dalam kancah bola sepak tanah air dengan pelbagai cerita dalam dan luar padang.

Ia mungkin bertepatan dengan mesej yang ingin disampaikan dalam iklan sambutan Tahun Baharu Cina ini dimana walaupun apa sahaja perbezaan, akhirnya semua insan akan bersatu bagi menikmati kegembiraan.

Skuad utama kedua-dua pasukan akan kembali berseteru dalam kancah Liga Super apabila Perak yang sebelum ini dalam saingan Liga Premier akan kembali selepas Malaysian Football League (MFL) mengubah format saingan liga musim ini.

https://www.youtube.com/watch?v=SHdt483vc0s