Penyerang muda Singapura, Ikhsan Fandi terus mengganas dalam saingan divisyen kedua liga bola sepak Norway apabila beliau menjaringkan dua gol ketika FK Jerv menewaskan Øygarden Sabtu lalu.

Jerv menerima kunjugan Øygarden di laman sendiri dan mereka berjaya menampilkan aksi memberangsangkan apabila memenangi perlawanan dengan keputusan 4-2.

Ikhsan yang diturunkan dalam kesebelasan utama berjaya menjaringkan dua gol, masing-masing pada minit ke-50 dan 64 sekaligus melonjakkan kedudukan kelab beliau ke tangga keenam.

Sejak menyertai Jerv dari Raufoss bulan lalu, adik kepada Irfan Fandi itu menampilkan prestasi cemerlang dimana beliau telah membuat enam penampilan, empat sebagai pemain kesebelasan dan dua lagi sebagai pemain gantian.

Selain itu, pemain berusia 21 tahun itu turut menjaringkan 5 gol setakat ini, satu prestasi yang jauh lebih baik berbanding ketika beliau beraksi bersama Raufoss dimana hanya satu gol terhasil.

Melihat kepada prestasi semasa yang ditampilkan oleh Ikhsan, beliau dilihat bakal menjadi pilihan utama bagi menerajui jentera serangan Jerv pada perlawanan akan datang.

Dalam aksi 1. divisjon seterusnya, Jerv akan turun menentang Sogndal di laman lawan.

Baca artikel lain mengenai Ikhsan Fandi di sini:

Ikhsan Fandi Kekalkan Rentak Jaringan, Bantu FK Jerv Raih Kemenangan

Ikhsan Fandi Jaringkan Gol Pada Penampilan Penuh Pertama Bersama FK Jerv

Ikhsan Fandi Jaringkan Gol Pertama Bersama Kelab Norway, Raufoss IL