Seperti dilaporkan sebelum ini, skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) telah ditubuhkan untuk menyertai saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang dijadualkan bermula pada Februari nanti.

Dengan reputasi hebat dimiliki JDT terutamanya dalam kancah bola sepak tanah air, kewujudan skuad futsal mereka dilihat bukanlah perkara sukar untuk menarik minat pemain-pemain berkualiti untuk menyertai pasukan tersebut.

Hakikat tersebut jelas tidak dapat disangkal kerana ramai pemain skuad kebangsaan dilihat membarisi pasukan yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia atau lebih mesra dengan panggilan Juanito itu.

Berdasarkan gambar ketika sesi latihan yang dimuatnaik laman Facebook rasmi, JOHOR Southern Tigers, kelihatan enam pemain kebangsaan yang berada dalam skuad futsal JDT.

Empat daripadanya ialah antara tonggak pasukan Selangor MAC ketika menjuarai kempen MPFL dan Piala Futsal Malaysia 2023 iaitu Azrul Hadee Mohd Taufiq (penjaga gol), Mohd Azwann Ismail, Muhammad Ekmal Shahrin, Muhammad Azri Rahman manakala Abu Haniffa Hasan dan Mohd Awalludin Mat Nawi dari Pahang Rangers.

Kredit Foto: JOHOR Southern Tigers (JST)

Daripada enam pemain tersebut, hanya Awalluddin Mat Nawi tidak beraksi dalam Sukan SEA 2021 serta Kejuaraan AFF 2022 yang diadakan pada April dan Mei lalu ekoran kecederaan serius di bahagian lutut dialaminya dalam kancah liga.

Meskipun masih belum ada pengumuman rasmi dilakukan mengenai kehadiran pemain, turut kelihatan dalam gambar ialah trio dari Selangor MAC seperti Mohd Firdaus Ambiah, Muhammad Saad Abd Sani dan Mohamad Danial Abdul Dain.

Antara pemain lain yang turut menyertai sesi latihan tersebut ialah Muhammad Hamzah Ahmad (Kedah), Fakhrul Islam Anizam (Kedah), Aizat Saari (Pulau Pinang), Radzwil Ahmad (Pulau Pinang), Kisshaen Ananthan (Negeri Sembilan) dan penjaga gol PDRM FC, Nur Hazim Suleiman.

Meskipun masih belum lengkap senarai pemain, ia memberikan gambaran jelas menunjukkan JDT benar-benar serius untuk memburu kejuaraan pada penampilan sulung mereka.

Malah, difahamkan Juanito akan membawa masuk dua pemain import untuk terus memperkukuhkan lagi kekuatan pasukan.

Satu lagi perkara menarik yang pasti dinantikan kerana pastinya skaud futsal JDT akan membawa masuk pemain berkualiti tinggi untuk memantapkan pasukan.