Selepas mengalami kekalahan kedua dalam saingan Liga Super musim ini apabila tewas kepada Terengganu, penjaga gol pasukan Kedah, Ifwat Akmal dikhabarkan mahu meninggalkan pasukan itu.

Khabar angin ini kencang beredar di aplikasi WhatsApp yang mana menyatakan Ifwat mahu meninggalkan pasukan setelah menjadi sasaran kritikan daripada penyokong selepas perlawanan menentang Terengganu pada Sabtu lalu.

Ifwat dikritik hebat oleh penyokong dimana beberapa daripada mereka menganggap bekas penjaga gol skuad B-23 tahun negara itu menjadi punca terhadap kekalahan yang dialami oleh Kedah.

Kedah mendahului 3-1 sebelum Terengganu bangkit dengan menjaringkan tiga gol menerusi Dominique Da Sylva pada separuh masa kedua sekaligus memenangi perlawanan dengan keputusan 4-3.

Ifwat serta-merta menjadi sasaran dan bahkan pemain berusia 23 tahun itu memadam laman media sosial Instagram miliknya selepas menerima kritikan serta cacian daripada penyokong.

Namun, baik pihak Ifwat mahupun Kedah sendiri belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai khabar angin ini.

Dalam perkembangan yang lain, rata-rata peminat setia Kedah mahu pengendali pasukan, Aidil Sharin Sahak untuk menggunakan penjaga gol lain seperti Shahril Sa’ari atau Azri Abdul Ghani bagi membarisi kesebelasan utama pasukan.

Pada perlawanan kelayakan AFC Champions League (ACL) 2020, Shahril dipilih sebagai penjaga gol utama dan beliau menampilkan prestasi cemerlang ketika Kedah tewas kepada FC Seoul.

Baca artikel lain mengenai pasukan Kedah di sini:

Aidil Sharin: Saya Bertanggungjawab Di Atas Kekalahan Kedah

Kedah Dan Pahang Berentap Di Pusingan Kedua Shopee Piala FA 2020

Asmirul Anuar Nafi Kedah Ada Masalah Tunggakan Gaji Dua Bulan