Perlawanan persahabatan JDT All Stars yang akan berlangsung di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, malam ini akan disiarkan oleh pembekal perkhidmatan video atas talian, Iflix.

Perkara ini disahkan oleh laman media sosial rasmi Johor Darul Ta’zim, Johor Southern Tigers melalui satu pengumuman sebentar tadi.

Perlawanan yang melibatkan ramai pemain bertaraf bintang untuk program amal ini menampilkan beberapa nama-nama besar dunia bola sepak yang pernah memenangi gelaran berprestij pada masa lalu seperti Robert Pires, David Trezeguet, Rivaldo, Edgar Davids, Bebeto, Marco Materazzi, Claudio Caniggia, Claude Makelele dan ramai lagi.

Pemilik JDT, DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor juga turut akan beraksi selain beberapa pemain kelab tersebut seperti Aidil Zafuan, Mauricio, Farizal Marlias dan La’Vere Corbin-Ong.