Melaka United akhirnya menamatkan kemarau kemenangan selepas 3 perlawanan apabila menewaskan Selangor 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput semalam.

Lebih menarik, dua gol tersebut dijaringkan oleh bekas pemain import Selangor, Ifedayo Olusegun yang juga merupakan penjaring terbanyak Liga Super pada musim lepas.

Aksi Ifedayo turut menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan kerana tidak menyangka pemain dari Nigeria itu mampu mempamerkan prestasi yang lebih mantap selepas disahkan mengalami kecederaan hamstring melalui kenyataan rasmi ketua jurulatih, Asri Ninggal 3 hari lepas.

Dalam perlawanan itu, Selangor lebih banyak melakukan asakan namun sering dikecewakan dengan ketumpulan penyudah ditambah pula dengan kecemerlangan benteng pertahanan tuan rumah mengekang setiap gerakan penyerang lawan.

Melaka mengambil kesempatan melakukan gerakan dari sebelah kanan gawang lawan menerusi hantaran lintang Sony Norde lalu disudahkan dengan baik oleh Ifedayo untuk gol pembukaan pada minit ke 39.

Selangor juga sepatutnya mendapat jaringan penyamaan pada minit ke 41 namun sepakan percuma Mukhairi Ajmal gagal disambut oleh penyerang import pasukan itu,Herlison Caion. Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki separuh masa kedua, Melaka United yang masih segar dengan kejayaan mengikat JDT 1-1 pada Sabtu lalu beraksi dengan lebih baik dan bijak menyerap setiap asakan lawan.

Ketika Selangor sedang ghairah menyerang, Melaka United mengambil kesempatan menghukum kelekaan benteng pertahanan pelawat dengan melakukan serangan balas.

Hantaran jarak jauh Hasbullah Abu Bakar pada minit ke 57 berjaya menemui Ifedayo seterusnya menggelecek penjaga gol, Samuel Somerville bagi jaringan keduanya pada perlawanan itu.

Kemenangan itu membolehkan Melaka kini berada di tangga kelapan liga sementara Selangor di kedudukan ketujuh dengan masing-masing mengumpul 12 mata.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah

Aksi Faisal Halim ‘Menganjing’ Penjaga Gol Sri Pahang Curi Tumpuan

Hujan Lebat Landa Aksi Terengganu – Negeri Sembilan, Penyokong Sempat Mandi Dalam ‘Kolam’

JDT Bakal Menerima Pelaburan Bernilai 8 Juta Euro Dalam Tempoh Tiga Tahun

Sergio Aguero Dan Lee Tuck Tidak Dapat Didaftarkan Sebagai Pemain Tempatan