Penyerang import baharu Selangor, Ifedayo Olesegun menampilkan persembahan cemerlang pada penampilan pertama beliau bersama skuad Red Giants apabila menjaringkan hatrik pada perlawanan menentang Kedah di Stadium Shah Alam semalam sekaligus membantu pasukannya merampas semula kedudukan ketiga dalam carta Liga Super musim ini.

Ifedayo serta-merta diturunkan dalam kesebelasan utama dimana beliau diletakkan sebagai penyerang utama sambil dibantu oleh Sandro da Silva, Syahmi Safari dan Syazwan Zainon. Penyerang dari Nigeria ini hanya perlu menunggu sehingga minit ke-34 untuk menjaringkan gol pertama beliau.

Seminit sebelum separuh masa pertama tamat, Ifedayo menjaringkan gol kedua apabila beliau bijak memanfaatkan kesilapan penjaga gol Kedah, Ifwat Akmal yang gagal menangkap bola dengan kemas. Bersambung babak kedua, bekas penyerang Felda United ini melengkapkan hatrik beliau apabila menolak masuk bola hasil daripada hantaran K.Sarkunan.

Kehadiran Ifedayo jelas memberikan nafas baharu terutamanya di bahagian serangan Selangor. Sejak Rufino Segovia berehat panjang akibat kecederaan yang dialami, skuad bimbingan B.Sathianathan berdepan dengan masalah jentera serangan yang tumpul khususnya pada 5 perlawanan sebelum bertemu Kedah.

Ifedayo Olesegun
Sumber Gambar: MFL

Jika Ifedayo berjaya mengekalkan prestasi semasa beliau sehingga ke penghujung saingan Liga, tidak mustahil pemain ini mencabar kedudukan penjaring terbanyak yang ketika ini dikuasai oleh dua pemain Johor Darul Ta’zim iaitu Gonzalo Cabrera dan Diogo Luis Santo.

Selangor akan meneruskan kempen Liga Super dimana mereka akan bertandang ke Manjung bagi menghadapi pasukan PKNP FC pada Sabtu ini.