Ketua jurulatih Kuching FA, Ideris Untong mahu skuadnya menikmati sepuas-puasnya kejayaan layak ke saingan Liga Premier 2020 sebelum memikirkan perancangan rapi membentuk skuad terbaik pada musim depan.

Jelasnya, musim 2019 sudah cukup mencabar buat anak buahnya sehingga perhitungan terakhir menundukkan pasukan berstatus “abang”, Sarawak dalam aksi playoff Liga Premier dengan keputusan 3-1 di Stadium Sarawak semalam.

Justeru, inilah masanya untuk mereka meraikan kejayaan bermakna ini terlebih dahulu sebelum kembali memikirkan apakah perancangan seterusnya untuk menghadapi saingan yang lebih mencabar musim depan.

Ideris Untong
Ideris (memakai topi berwarna hijau). Sumber Gambar: Kuching FA

“Kita bagi rehat dahulu kepada semua orang termasuk diri saya sendiri untuk sama-sama menikmati kejayaan ini.

“Selepas itu, barulah kami akan buat perancangan rapi untuk membentuk pasukan terbaik beraksi pada musim hadapan.

“Yang penting, saya memuji kerja keras semua pemain yang telah berhempas pulas pada perlawanan malam ini untuk kita akhirnya layak ke Liga Premier 2020.

“Gol kedua yang kita peroleh daripada Hafis Saperi menjadikan pasukan lebih bersemangat untuk terus mematahkan momentum Sarawak sebelum Joseph menoktahkan kemenangan kami,” jelasnya.

Ideris yang terus kekal menyandang jawatan sebagai ketua jurulatih bagaimanapun mengingatkan kepada semua pemain untuk lebih serius untuk menghadapi musim 2020.

Beliau turut memberi bayangan tidak banyak perubahan pemain akan berlaku kerana masih lagi menagih kepercayaan tinggi buat skuad yang ada ketika ini sehingga berjaya membawa pasukan ke saingan Liga Premier.

Ideris Untong
Sumber Gambar: MFL

“Liga Premier sememangnya satu liga yang lebih sengit dan saya akan beri lebih penekanan kepada pemain-pemain yang ada ketika ini.

“Kami juga akan turut mencari beberapa pemain baharu tetapi tidaklah akan membuat banyak perubahan.

“Saya berterima kasih kepada semua penyokong dan kami tidak akan hampakan mereka pada musim depan”, katanya.

Terdahulu, Sarawak beraksi dalam playoff berdepan naib juara Liga M3 Kuching FA apabila mereka menamatkan saingan Liga Premier di tangga ke-11.

Kuching FA mengikut jejak langkah Kelantan United yang terlebih dahulu layak selepas muncul juara Liga M3.

Baca artikel lain mengenai saingan Liga M3 di sini:

Fakhrul Zaman Terkejut Dengan Catatan Gol Dalam Saingan Liga M3

Kejayaan Kelantan United Julang Trofi Liga M3 Ubati Kerinduan Piya

Kelantan Berdepan Kesukaran Dapatkan Lesen, Berisiko Turun Pangkat Ke Liga M3 Musim Hadapan