Meskipun Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak mendedahkan nama pengadil dari Jepun yang dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Shopee Piala FA 2019 di antara Kedah menentang Perak pada hari sabtu ini, namun gambar mereka sudah pun tersebar dan menjadi tular di media sosial hari ini.

Menurut paparan di laman twitter milik penyokong Perak, Yob4ever, 3 pengadil dan seorang pegawai dari Jepun tersebut telah tiba di Malaysia dan akan dibawa berjumpa dengan wakil FAM untuk mendengar taklimat sempena aksi perlawanan akhir itu.

Berdasarkan maklumat risikan kami hasil perkongsian daripada wartawan Jepun, nama pengadil utama yang ditugaskan pada perlawanan itu ialah Takuto Okabe (pengadil utama), Yagi Akane (penjaga garisan) dan Nomura Osamu (penjaga garisan).

Ketiga-tiga pengadil itu mempunyai pengalaman luas mengadili beberapa perlawanan di peringkat domestik dan antarabangsa.

Takuto Okabe

Takuto Okabe merupakan seorang pengadil berpengalaman yang pernah mendapat lencana pengadil kelas tertinggi daripada Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) pada tahun 2006. Beliau telah mendapat lencana pengadil tempatan sejak menuntut di universiti lagi.

Pada tahun 2008, beliau membuat penampilan pertama sebagai pengadil utama untuk perlawanan liga divisyen 2 Jepun (J2) dan kemudian dipilih untuk mengadili perlawanan liga divisyen 1 Jepun (J1) pada pertengahan tahun 2009.

Okabe yang kini berusia 38 tahun pernah menjadi pengadil pertama dari Jepun yang mengadili perlawanan Liga Australia (A-League). Pada tahun 2014, beliau telah untuk mengendalikan perlawanan panas di antara Brisbane Roars menentang Newcastle Jets.

Takuto Okabe
Referee Takuto Okabe during the Round 23 A-League match between Sydney FC and Wellington Phoenix at the Sydney Football Stadium in Sydney on Saturday, March 12, 2016 in Sydney, Australia. (Photo by Steve Christo) (Photo by Steve Christo/Corbis via Getty Images)

Okabe sekali lagi bakal mencipta sejarah baharu apabila menjadi pengadil Jepun yang pertama dipilih untuk mengadili perlawanan akhir Piala FA Malaysia yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada hujung minggu ini.

Bagaimanapun, rantau asia tenggara bukanlah asing bagi Okabe kerana sebelum ini beliau pernah dijemput untuk mengadili perlawanan liga divisyen 1 Vietnam (V1 League) di antara Becamex Binh Duong menentang Hanoi T&T pada tahun 2015. Malah, beliau juga menjadi pengadil keempat untuk perlawanan akhir Piala AFF 2016 di antara Indonesia menentang Thailand  di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.

photo_2019-07-24_12-12-15

Pada bulan oktober 2015, Okabe telah menerima lencana daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sekaligus melayakkan beliau mengadili beberapa perlawanan di peringkat antarabangsa termasuk dalam saingan AFC Cup dan AFC Champions League.

Yagi Akane

Pengadil yang ditugaskan sebagai penjaga garisan ini telah menerima lencana rasmi daripada JFA pada tahun 2000. Beliau juga turut mendapat lencana pengadil kelas tertinggi untuk sukan futsal daripada JFA dan pernah menjadi pengadil dalam liga futsal Jepun (F.League) selama dua tahun.

Akane telah mengikat kontrak dengan JFA sebagai pengadil profesional pada bulan April 2014 dan beliau muncul sebagai salah seorang daripada 10 pembantu pengadil yang terlibat dalam 200 perlawanan J1 League.

photo_2019-07-24_12-34-44
Yagi Akane. FOTO: J.League

Pada tahun 2009, beliau telah mendapat lencana daripada FIFA sebagai pembantu pengadil dan membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa ketika perlawanan EAFF 2010 di antara Korea Selatan menentang Hong Kong.

Akane mula diiktiraf di peringkat dunia pada tahun 2015 apabila dipilih untuk menjadi pengadil garisan pada perlawanan FIFA Club World Cup.

Nomura Osamu

Nomura Osamu merupakan bekas pekerja bank Mitsui Sumitomo. Beliau telah mendapat lencana pengadil kelas tertinggi daripada JFA ketika berumur 23 tahun. Daripada 16 orang yang memiliki lencana tersebut, Osamu adalah pengadil paling muda ketika itu.

photo_2019-07-24_12-39-20
Nomura Osamu

Pada tahun 2014, beliau telah berhenti kerja untuk bekerja dengan Real Estate company Horikawaya Ringyo namun masih melakukan pekerjaan kedua beliau iaitu pengadil utama untuk perlawanan liga divisyen 3 Jepun.

Pengadil tempatan akan membantu tiga pengadil Jepun

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Football League (MFL), Kevin Ramalingam mengakui pihaknya teruja menyambut kehadiran pegawai pertandingan dari negara matahari terbit itu.

Kevin menyifatkan kehadiran wakil Jepun itu bukan sahaja menyemarakkan lagi suasana perlawanan sebaliknya dapat memberikan satu kelainan baharu khususnya daripada aspek mutu pengadilan.

Jelasnya lagi, pengadil tempatan turut tidak terlepas daripada perhatian di mana seorang wakil negara akan membantu tiga pegawai pertandingan dari Jepun sebagai pengadil keempat perlawanan.

“MFL dapat mengesahkan bahawa tiga pengadil dari Jepun akan terlibat dalam aksi final Shopee Piala FA 2019 di mana seorang pengadil tempatan kita akan bertindak sebagai pengadil keempat nanti.

“MFL percaya bahawa JFA (Persatuan Bolasepak Jepun) akan memberikan wakil-wakil terbaik mereka untuk menjadi pengadil final Shopee Piala FA 2019.

“FAM yang membuat perlantikan (pengadil aksi final Shopee Piala FA 2019) di mana saya juga percaya FAM akan memastikan pengadil itu sesuai dengan perlawanan ini dan saya berasa yakin final Shopee Piala FA 2019 akan berjalan lancar,” katanya dalam sidang akhbar.