Inter Club Football League (ICFL) maju selangkah dalam pembangunan bola sepak negara di peringkat akar umbi apabila menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B-16) Peringkat Kebangsaan 2022 pada 1 hingga 4 Mac di Kota Bharu Kelantan.

Sebelum ini, ICFL lebih tertumpu kepada penganjuran liga komuniti dan karnival di sekitar Lembah Klang. Dengan penganjuran peringkat kebangsaan ini, ICFL berjaya membuat perancangan untuk lebih berkembang dalam arena bola sepak negara.

Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 (B16) Peringkat Kebangsaan 2022 ini dianjurkan dengan kerjasama Grey United Football Club (Grey United FC) dengan sokongan Majlis Sukan Negeri Kelantan (MSNK) dan Majlis Sukan Negara.

Sehingga hari ini, penyertaan untuk Kejohanan Bola Sepak B-16 Peringkat Kebangsaan 2022 ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ianya melibatkan pasukan dari Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Lebih menarik, kejohanan ini terbuka kepada mana-mana kelab dan pasukan negeri. Ketika ini, ICFL hanya menanti pengesahan tempat daripada pasukan Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang berpengkalan di Gambang, Kuantan, Pahang.

Untuk makluman, dalam usaha melahirkan pemain bola sepak berkualiti, Kelab Bolasepak ICFL telah mewujudkan satu platform khas untuk belia remaja terutama di peringkat bawah 14 tahun sejak tahun 2018 lagi.

ICF juga juga melihat untuk melakukan pembaharuan dalam ekosistem pembangunan pemain di peringkat akar umbi seperti mana yang digunapakai oleh pasukan Grey United dari Kelantan yang disifatkan cukup sempurna.

Dalam kejohanan ini, Grey United menghantar dua pasukan, pembangunan pemain mereka amat menarik bermula ‘zero to hero’ dengan menjuarai pelbagai kejohanan sebelum ini. Apa yang menarik pemain tidak mengabaikan pembelajaran mereka.

Sehubungan itu, ICFL juga merancang untuk menerapkan kaedah pembangunan pemain yang sama untuk membentuk pasukan yang mantap pada masa akan datang termasuk menjalinkan kerjasama dengan sekolah sekolah termasuk pusat-pusat tahfiz yang ada di sekitar lembah klang.

Sementara itu, di sebalik Kejohanan ini, Kelab Bolasepak ICFL turut menyediakan ‘system data base’ bagi setiap pemain dan pasukan yang terlibat bagi persediaan mereka menjadi pemain professional.

Sistem ini telah terbukti keberkesanannya apabila diguna pakai oleh Kelab Bolasepak ICFL dalam seminar yang dinamakan “KEM JAGUH” di Melaka pada peringkat permulaannya.

Hasil system data base dan KEM Jaguh ini sangat bagus kerana terdapat perubahan besar yang berlaku terhadap pemikiran dan pencapaian pemain di peringkat yang lebih tinggi, malah ada diantara pemain telah terpilih mewakili negeri dan daerah masing-masing.

Maksud “data base” yang disimpan oleh Kelab Bolasepak ICFL ialah satu profil lengkap kepada pemain mahupun pasukan dari segi pencapaian fizikal, teknik, disiplin, skill dan lain-lain apabila menyertai Kejohanan anjuran Kelab Bolasepak ICFL sehinggalah mereka dapat mewakili PLD, MSSN, ataupun kelab-kelab ternama serta mewakili negeri masing-masing.

Pasukan yang menjuarai kejohanan ini akan mewakili ICFL Malaysia untuk bersaing dalam kejohanan antarabangsa melibatkan pasukan dan kelab dari negara luar seperti Brunei, Singapore, Thailand, Indonesia, Korea dan Jepun.

Sementara itu, pihak penganjur berharap ada mana-mana agensi kerajaan atau swasta tampil memberikan sokongan padu kepada penganjuran tahun ini bagi melahirkan pemain yang berkualiti dan menjadi pelapis kepada pasukan bolasepak negara.