Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mencuri tumpuan peminat bola sepak tempatan apabila gambarnya berpakaian kain pelikat tular di media sosial sempena program Hari Keluarga Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada hari sabtu lalu.

Lebih menarik, aksinya ketika aktiviti permainan tarik tali ibarat berada dalam drama siri popular Netflix, Squid Game (nama permainan tradisional Korea Selatan).

Rata-rata peminat menyifatkan Kim Pan-gon seperti seorang pelakon dalam drama tersebut kerana mempunyai rupa yang hampir seiras dengan watak Jang Deok-su.

Program Hari Keluarga FAM yang kali terakhir diadakan pada tahun 2016 kembali semula untuk mengeratkan hubungan silaturahim diantara kakitangan FAM, Ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif serta barisan jurulatihan.

Ia sekaligus memberi peluang kepada Kim Pan-gon untuk mengenali budaya Malaysia sejak dilantik sebagai pengendali Harimau Malaya pada bulan februari lalu.

Antara jurulatih lain yang turut terlibat ialah pembantunya, Pau Marti Vicente dan Park Bo-Bae serta jurulatih penjaga gol, Cho Jun-Ho.

FOTO: FAM

Selain tarik tali, antara acara yang diadakan antaranya ialah bola sepak kain pelekat, bola keranjang kampung, boling kampung, lari dalam guni dan menganyam ketupat yang membabitkan peserta dewasa lelaki dan wanita serta juga acara-acara bagi kanak-kanak.