Pemain import pasukan Selangor, Hyuri Henrique meluahkan kekecewaan beliau selepas menerima kritikan hebat dari peminat skuad Gergasi Merah itu.

Baru-baru ini, Selangor mengucapkan selamat hari jadi kepada Hyuri Henrique menerusi laman media sosial rasmi pasukan namun perkara ini nyata mendapat tindak balas berbeza daripada peminat.

Segelintir peminat mengkritik Hyuri dimana mereka menganggap pemain itu tidak memberikan apa-apa sumbangan kepada pasukan musim ini dan pasukan hanya melakukan pembaziran dengan menandatangani beliau.

Menerusi laman Instagram pasukan, pemain dari Brazil itu nyata kecewa dengan tindakan peminat terhadapnya yang dianggap telah memalukan pemain berusia 31 tahun itu.

“Terima kasih kerana telah memalukan saya dengan ucapan hari jadi anda,” tulisnya.

Selangor juga terpaksa menutup ruangan komen di laman Instagram pasukan bagi membendung isu ini daripada berterusan sekaligus menjejaskan pemain mereka.

Baru-baru ini, pemain naturalisasi negara, Liridon Krasniqi turut meluahkan kekecewaan beliau di laman media sosial setelah peminat mengkritik persembahan yang ditampilkan oleh seorang lagi pemain naturalisasi iaitu Mohamadou Sumareh.

Menerusi laman Instagram Story miliknya, Liridon memuat naik satu gambar yang menyatakan pemain naturalisasi dianggap sebagai warga Malaysia sekiranya pasukan kebangsaan menang namun sekiranya kalah, mereka digelar sebagai imigran.

Hyuri Henrique
Sumber Gambar: Instagram Liridon Krasniqi

“Kita dianggap warga Malaysia apabila menang. Bila kalah, kita adalah imigran,” dipetik dari gambar yang dimuat naik oleh Liridon.

Pada aksi menentang Tajikistan, ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memberikan peluang kepada Sumareh untuk tampil dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Arif Aiman yang beraksi pada perlawanan sebelumnya bertemu Thailand.

Akan tetapi, pemain itu gagal untuk menampilkan prestasi terbaik dimana beliau dilihat sedikit bergelut sekaligus menyebabkan jentera serangan pasukan negara dilihat tumpul dan tidak menghadirkam ancaman kepada kubu pertahanan pasukan lawan.

Detik yang paling mengecewakan apabila Mohamadou Sumareh hampir saja dibuang padang selepas melakukan terjahan berbahaya terhadap pemain lawan iaitu Ehsoni Panshanbe ketika beliau sudah dilayangkan kad kuning sebelumnya.

Pasukan negara muncul sebagai naib juara King’s Cup 2022 setelah tewas kepada Tajikistan menerusi penentuan sepakan penalti.