Krisis kewangan yang dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) kini memasuki babak baharu dimana jumlah hutang yang dihadapi oleh badan induk itu ketika ini mencecah nilai RM8 Juta.

Menurut laporan Harian Metro, seorang sumber memberitahu mereka jumlah sebenar hutang MUSA ketika ini bukanlah RM3 Juta seperti yang tersebar di laman media sosial sebelum ini tetapi lebih dari itu.

Hutang
Sumber Gambar: MUSA

“Baru-baru ini, pemain ada menyatakan rasa tidak puas hati apabila gaji mereka tertunggak hingga tiga bulan. Mereka dijanjikan bayaran dalam masa terdekat, namun ternyata ia palsu. Sebelum ini, ada yang mengatakan Melaka hanya berhutang sekitar RM3 juta saja, namun dalam mesyuarat baru-baru ini, kami dimaklumkan jumlah keseluruhannya mencecah RM8 juta.

“Jika diikutkan hanya ada tempoh tidak sampai sebulan MUSA perlu menyelesaikan semua hutang terbabit, namun jumlahnya agak banyak dan dana pula tidak mencukupi,” kata sumber tersebut.

Melaka United antara pasukan yang gagal melengkapkan permohonan lesen kelab kebangsaan dan juga Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bagi menghadapi saingan musim 2020 seterusnya diberikan syarat atau ditangguhkan kelulusan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hingga penghujung Oktober.

Shukor Adan
Shukor Adan

Sebelum ini, pendedahan yang dilakukan oleh ketua pasukan, Shukor Adan telah menjurus kepada pembongkaran masalah kewangan yang dihadapi oleh MUSA ketika ini. Shukor antara pemain yang masih belum menerima gaji dimana beliau tidak mendapat sebarang bayaran selama 5 bulan terakhir.

Pada masa yang sama, Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim ketika mengesahkan pihaknya sedang menanggung beban hutang sebanyak RM8 Juta.

“Kami sudah mengadakan perbincangan baru-baru ini dengan pengurusan tertinggi MUSA dan akan menyelesaikan hutang berkenaan secepat mungkin termasuk melengkapkan dokumen permohonan lesen kebangsaan,” kata Farhan.

Baca artikel lain mengenai krisis kewangan yang dihadapi oleh MUSA di sini:

Presiden MUSA Beri Jaminan Gaji Pemain Melaka Dilunaskan Hujung Bulan Ini

Tunggakan Gaji Shukor Adan Mencecah Sehingga 5 Bulan

Yusof Mahadi Akui Gaji Pemain Melaka United Tertunggak Dua Bulan