Dalam satu perkembangan lain berkenaan pasukan Kelantan mulai musim 2019, KRW Sdn Bhd, syarikat yang mengambil alih pengurusan skuad itu akan menjelaskan semua hutang-hutang yang ada secara berperingkat.

Perkara ini dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif KRW Sdn Bhd, Fazli Mohammad jumlah hutang yang perlu diselesaikan adalah berjumlah sekitar RM5,000,000 dan dari jumlah itu RM3,500,000 adalah tunggakan bayaran gaji pemain-pemain sebelum ini.

Baki dari jumlah tunggakan gaji tersebut termasuklah bayaran tunggakan sewa stadium serta pelbagai lagi tunggakan lain yang ditinggalkan sejak KAFA dibawah pentadbiran Tan Sri Annuar Musa sehingga 2018.

Ketika ditanya mengenai geran yang akan diterima oleh pasukan Kelantan dari pihak MFL, beliau memberitahu bahawa geran yang diberikan itu 100% akan diserahkan kepada pihak KAFA untuk digunakan bagi melakukan pembangunan bola sepak bawah umur.

kelantan

Menurut beliau juga, KRW Sdn Bhd akan menguruskan 3 buah pasukan iaitu skuad utama Kelantan, skuad Piala Presiden dan skuad Piala Belia.

Perjanjian usahasama ini telah ditandatangani pada 14 Januari 2019 dan secara rasminya telah bermula pada 2 Febuari 2019.

Selain dari itu, beliau turut menjelaskan bahawa jumlah hutang yang ditanggung oleh pihak KAFA tidak begitu serius dan masih lagi boleh diuruskan. Dengan penstrukturan semula hutang-hutang sedia ada, pihaknya telah berjaya memperoleh pengurangan dari pihak-pihak yang terbabit dengan KAFA.

Dari temubual yang diadakan selepas tamat perlawanan tempoh hari, jelas pihak KRW Sdn Bhd mahu menyelesaikan hutang-hutang lapuk terlebih dahulu bagi memudahkan mereka untuk mencorakkan pengurusan baharu pasukan mulai musim 2019 serta memastikan pasukan The Red Warriors kembali ke saingan unifi Liga Super musim hadapan.