Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Bibi Ramjani Ilias Khan menyifatkan hukuman yang dikenakan terhadap badan itu oleh pengelola Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menambahkan lagi beban yang sedang ditanggung oleh persatuan tersebut.

Menurut Bibi, MFL sebagai badan yang menguruskan liga perlu bersikap lebih profesional dan adil berkenaan hukuman yang dikenakan. Hukuman berupa pemotongan geran tahunan sebanyak 50% nyata memberikan beban bukan sahaja persatuan malah kepada pasukan.

“Sebelum ini kami (KAFA) sudah setuju bayar tuntutan bekas pengarah teknikal Alfredo Gonzales melalui pemotongan geran, dan kenapa masih lagi mahu sekat kami mendapatkan pemain import.

“Kami tidak tahu apa kesalahan baru meyebabkan didenda terbabit. Sudah banyak kami dikenakan antara hukuman sekat lesen, sekat geran dan pemotongan mata, selepas ini berapa banyak hukuman lagi kami tidak tahu,” katanya menurut laporan Berita Harian.

presiden-bibi-ramjani
Sumber Gambar: Stadium Astro

Bibi menyifatkan hukuman yang dikenakan seolah-olah mahu menyingkirkan Kelantan dari saingan Liga Malaysia dan beliau turut membidas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dianggap tidak membantu pasukan untuk keluar dari kemelut yang dihadapi.

“Kita persatuan (ahli gabungan) ibarat anak-anak yang bergelut dengan pelbagai masalah, dan tekanan mengadu kepada bapa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL untuk ihsan, tetapi usahkan simpati yang dapat, malah tendang terajang dari bapa yang dapat.

“Kalau bukan MFL atau FAM yang boleh jaga (bantu) kami, siapa lagi yang akan jaga kami untuk kelancaran bola sepak negara,” tambahnya.