Ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC, Nafuzi Zain mahu mencipta hubungan yang lebih erat antara pemain terlebih dahulu sebelum sepak mula Liga Malaysia 2023 sambil menyifatkan elemen itu cukup penting dalam sesebuah pasukan.

Sepertimana yang telah dilakukan ketika membimbing Terengganu FC musim lalu, sudah tentu pengendali berusia 45 tahun ini mahu menyuntik pendekatan sama bagi mengenali pemain-pemain baharu dengan lebih dekat di Kedah.

Penting untuk beliau menilai karakter setiap anak buahnya dengan mendalam sebaik sahaja latihan pertama bermula bagi memastikan mereka mempunyai persefahaman yang tinggi sebelum sepak mula nanti.

Sudah pasti, bukan mudah untuk mengekalkan prestasinya selaku Jurulatih Terbaik musim lalu apabila berjaya meletakkan Terengganu di tahap cemerlang dan tekad untuk mengharungi cabaran lebih sukar bersama Kedah musim ini.

“Saya tidak boleh nak beri gambaran awal mengenai perancangan saya, tetapi apa yang saya ingin lakukan adalah untuk mengenali pemain-pemain dengan lebih dekat.

“Bukan sahaja di dalam padang, tetapi juga di luar padang sebab itu merupakan elemen yang penting untuk mencipta hubungan lebih baik antara jurulatih dan pemain.

Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

“Yang penting, saya kena tahu bagaimana karakter mereka semua dan saya tahu pasti akan ada lebih banyak cabaran kali ini.

“Cuma bagi saya cabaran itu adalah normal untuk kita selaku jurulatih, dan kalau kita ingin menjadi lebih bagus, kita kena harungi cabaran yang lebih besar pula”, jelasnya.

Kedah telah melakukan sesi latihan pra-musim pertama pada Isnin menyaksikan kehadiran penyokong-penyokong yang turut hadir memberikan sokongan moral kepada pasukan di venue latihan.

Jelas Nafuzi, dia teruja apabila kehadirannya ke Kedah disambut dengan baik sambil mengharapkan mereka akan terus memberikan sokongan yang padu kepada skuad ini sepanjang saingan liga musim 2023.

“Perasaan bercampur baur juga dengan tempat baru dan suasana yang lebih berbeza kali ini, sudah tentu saya teruja.

“Sebelum ini saya sudah biasa dengan suasana di Terengganu apabila dah lama di sana selain dengan sokongan penyokong Terengganu yang turut saya terima.

“Kali ini di Kedah, saya tengok penyokong semua memang bersemangat dan saya menghargai layanan daripada mereka”, tambah Nafuzi Zain lagi.