Ramon Marcote menganggap ketua jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe sebagai seorang rakan yang sangat baik apabila mereka bakal bekerjasama sekali lagi pada musim 2023.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Marcote dilantik selaku penolong jurulatih kepada Cheng Hoe bersama-sama Nidzam Jamil bagi memperkukuhkan lagi skuad Red Giants pada tahun ini.

Nyata, gandingan dua individu ini menjadi perhatian memandangkan mereka pernah berganding bahu ketika mengemudi Kedah pada 2015 sebelum beliau diberi kepercayaan untuk memangku posisi Cheng Hoe yang ketika itu menyertai kursus kejurulatihan profesional bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di China.

Baginya, Cheng Hoe sentiasa memberi sokongan kepada beliau untuk terus membimbing Kedah sebelum ini sehingga berjaya membawa pasukan itu ke final Piala Malaysia 2015 dan kini cukup berbesar hati apabila sekali lagi berpeluang untuk bekerjasama.

“Anda semua tahu kan bahawa musim 2015 cukup indah untuk kami di mana kami berdua dapat melakukan sesuatu yang bermakna buat pasukan sehingga dapat ke final Piala Malaysia.

“Saya boleh katakan beliau adalah rakan yang cukup baik sebab sentiasa bercakap perkara yang baik sahaja mengenai saya dan memberi kepercayaan untuk saya ambil alih tempatnya ketika beliau ke China.”

“Kalau anda masih ingat di dalam sidang media ketika dia bersama skuad kebangsaan, beliau mengatakan saya adalah calon yang layak untuk mengemudi Kedah pada ketika itu.”

“Jadi dekat sini, apabila ada seseorang yang sentiasa berkata yang baik-baik untuk kita, saya memang tidak akan pernah lupakannya dan sebab itu apabila saya terima panggilan daripadanya untuk datang ke Selangor, saya terima”, jelasnya.

Namun, bekas pengendali skuad pembangunan Atletico Madrid sedar cabaran kali ini lebih berbeza kerana saban musim persaingan akan lebih meningkat.

Apatah lagi dengan pasukan seperti Selangor menyaksikan jangkaan yang lebih tinggi daripada penyokong yang meletakkan harapan besar pada musim ini.

“Memang saya dan Cheng Hoe sudah melakukan tugas yang baik sebelum ini tetapi setiap tahun akan berubah dan kita tidak boleh nak jangka apa yang akan berlaku.”

“Sebab itu kami akan cuba sebaik untuk sama-sama melakukan tugas ini meletakkan Selangor di tahap yang terbaik pada musim 2023”, tambahnya.