Pemain dari Asia terus membuktikan kemampuan hebat dimiliki mereka apabila memainkan peranan penting buat pasukan masing-masing dalam saingan Liga Futsal Sepanyol.

Bintang Iran, Hossein Tayebi Bidgoli pastinya menjadi pemain yang mencuri tumpuan selepas dua jaringannya telah membantu Mallorca Palma Futsal untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Levante.

Hossein Tayebi cuba melepasi kawalan pemain Levante, Pedro Toro. Kredit Foto: Mallorca Palma Futsal

Jaringan pertama Tayebi hadir pada minit ke-12 apabila bekas pemain Benfica itu menyempurnakan sepakan penalti untuk menjadikan kedudukan 2-0 selepas Daniel Saldise membuka tirai jaringan seawal minit pertama.

Namun, selepas itu Levante bangkit dengan tiga menerusi jaringan Emerson Alves Dos Santos pada minit ke-15, Pedro Toro Garcia (minit ke-22) dan Rafael Usin Guisado (minit ke-30).

Tayebi kemudiannya menyamakan kembali kedudukan berselang dua minit kemudian apabila beliau mengambil kesempatan kelewatan penjaga gol Levante untuk kembali ke posisi asalnya susulan taktikal ‘Power Play’ digunakan.

Marlon Oliveira Araujo mengesahkan kemenangan buat Mallorca Palma hasil satu serangan balas pantas yang tidak mampu diselamatkan penjaga gol, Federico Perez Garrigos ketika permainan hanya tinggal seminit untuk ditamatkan.

Kemenangan yang terus meletakkan Mallorca Palma Futsal ditangga kedua selepas mengumpul 13 mata hasil empat kemenangan, satu keputusan seri dan satu kekalahan selepas berlangsungnya enam perlawanan.

Dengan dua gol dihasilkan, Tayebi telah mengumpul empat gol selepas diturunkan pada tiga perlawanan liga setakat ini oleh pengendali pasukan, Antonio Vadillo.

Muhammad Osamanmusa meraikan jaringan yang dihasilkannya ketika menentang Real Betis. Kredit Foto: Cordoba Futsal

Sementara itu tonggak utama Thailand, Muhammad Osamanmusa menjaringkan gol kedua peribadinya musim ini selepas percubaan susulannya pada minit kedua memadamkan kelebihan awal dimiliki Real Betis.

Cordoba yang masih kemarau kemenangan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 4-4 walaupun pada satu ketika mendahului lawan 4-1 untuk berada ditangga terbawah Liga Futsal Sepanyol dengan hanya dua mata diraih.