Bintang Iran, Hossein Tayebi Bidgoli terus memainkan penting buat Mallorca Palma apabila membantu kelab tersebut menundukkan pendahulu Liga Futsal Sepanyol, Barcelona 4-2, awal pagi tadi.

Kemenangan berharga yang dilakarkan di laman sendiri itu menyaksikan Mallorca Palma kini hanya dua mata dibelakang kelab gergasi tersebut untuk menduduki tempat kedua.

Status lawan yang memiliki deretan pemain bintang dunia serta masih unggul di tangga teratas liga tidak langsung dihiraukan Mallorca Palma pada perlawanan ini.

Ia jelas dibuktikan apabila mereka lebih banyak mencipta peluang dan berjaya mendapatkan dua jaringan pada babak pertama menerusi Cleber Andre Batista De Souza (minit ke-11) dan Diego Brandao Martins berselang enam minit kemudian.

Moslem Oladghobad cuba melepasi kawalan ketua pasukan Barcelona, Sergio Lozano Martinez. Kredit Foto: Mallorca Palma Futsal

Sebaik sahaja memasuki babak kedua, Adolfo Fernandez Diaz merapatkan defisit jaringan pada minit ke-21 dan kemudiannya Andre Coelho menyempurnakan sepakan penalti kedua (Second Spot) ketika permainan memasuki minit ke-35.

Tidak mahu melihat pasukan pelawat terus mendominasi aksi, Tayebi bijak menghidu peluang dihadapan pintu gol untuk melepaskan rembatan jarak dekat susulan situasi sepakan ke dalam bagi sekali lagi memberikan kelebihan buat Mallorca Palma.

Taktikal ‘Power Play’ yang digunakan Barcelona selepas itu untuk mengikat kembali kedudukan nyata memakan diri apabila berpunca daripada satu kesilapan hantaran telah memberikan ruang buat Chaguinha untuk menyumbat gol keempat sekali gus menghadiahkan kemenangan keenam buat Mallorca Palma.

Jaringan penting oleh Hossein Tayebi itu telah menjadikan jumlah keseluruhan gol yang dihasilkannya kepada lima gol sekali gus menjadi penjaring terbanyak buat pemain Asia di liga tersebut.

Rakan sepasukan Tayebi, Moslem Oladghobad dan pemain Real Betis, Raphael Henmi berkongsi tiga jaringan manakala Muhammad Osamanmusa pula dengan dua gol.