Malaysia memulakan kempen Kejohanan Hoki Remaja Piala Asia 2023 dengan garang apabila membelasah Uzbekistan 8-1 dalam aksi pembukaan yang berlangsung di Kompleks Sukan Salalah, Oman malam tadi.

Masih segar dengan kejayaan muncul pemenang pingat emas Sukan SEA tempoh hari, anak buah Amin Rahim mempamerkan aksi yang cukup bertenaga sejak awal permainan.

Perabu Tangaraja jelas mencuri tumpuan pada perlawanan ini selepas beliau meledakkan hatrik ketika aksi baharu memasuki minit ke-18.

Malaysia berada di hadapan pada minit ketujuh menerusi Perabu dan beliau menambah jaringan kedua peribadi berselang dua minit kemudian yang menyaksikan kedua-dua gol itu terhasil menerusi situasi pukulan sudut penalti.

Alfarico Lance Liau Jr menutup suku pertama dengan gol ketika hasil jaringan padang pada minit ke-12.

Kredit Foto: Asian Hockey Federation (AHF)

Perabu melengkapkan hatrik pada minit ke-18 dan kemudiannya Shahmie Irfan Suhaimi dan Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi menjadikan kedudukan 6-0.

Baki dua lagi jaringan skuad negara disumbangkan oleh Mughni Mohamad Kamal dan Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari pada minit 43 dan 52.

Gol saguhati Uzbekistan pula hadir pada minit ke-55 untuk memastikan kemenangan selesa menjadi milik skuad Malaysia.

Selepas lapan kali penganjuran kejohanan ini, Malaysia pernah muncul juara pada edisi 2012 yang mana ketika itu skuad negara dibimbing oleh Muhammad Dharma Raj Abdullah.

India merupakan juara bertahan setelah menundukkan Pakistan pada perlawanan akhir 2015 dimana kejohanan ketika itu diadakan di Kuantan, Pahang.