Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal meluahkan keyakinan tinggi terhadap pasukan hoki lelaki kebangsaan untuk menewaskan New Zealand dalam perlawanan terakhir kumpulan C Piala Dunia 2023 esok.

Skuad Speedy Tigers kendalian Arul Selvaraj itu menewaskan pasukan di ranking 21 dunia, Chile 3-2 pada hari Isnin lepas dan ia adalah kemenangan pertama Malaysia dalam sejarah Piala Dunia hoki lelaki.

Bagaimanapun, Subahan yakin skuad negara akan meneruskan rentak kemenangan walaupun sedar tidak mudah untuk berdepan New Zealand yang berada di ranking 9 dunia.

“Ia tidak mudah tapi apa pun boleh berlaku. Saya cukup yakin kita akan beri tentangan hebat dan cuba tewaskan New Zealand,” katanya dipetik dalam Bernama.

Rekod sepanjang 25 pertemuan antara kedua-dua pasukan sejak kali pertama bertemu pada 1975, jelas memihak kepada New Zealand yang mencatat 13 kemenangan manakala Malaysia pula hanya menang enam kali dan seri enam kali.

Malaysia Chile
Kredit Foto: Hockey India

Selain itu, Subahan juga telah berbincang dengan ketua jurulatih, Arul Selvaraj untuk mendapatkan pakar pukulan sudut penalti.

Pukulan sudut penalti merupakan masalah utama sering membelenggu skuad kebangsaan sejak kebelakangan ini dan terus berlaku pada Piala Dunia 2023 yang sedang berlangsung di India, ketika ini.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), Malaysia hanya berjaya menjaringkan gol sekali daripada 13 pukulan sudut penalti menerusi Norsyafiq Sumantri ketika menumpaskan Chile.

“Penguasaan percubaan pukulan sudut penalti menghantui skuad negara sejak beberapa tahun…misalnya, jika memanfaatkan peluang ini semasa menentang Chile, semalam, keputusan mungkin menang 8-2 atau 7-2 dan bukan 3-2.

“Situasi sama ketika berdepan Belanda tempoh hari…jika dapat menjaringkan gol hasil pukulan sudut penalti, kita mungkin seri atau tewas 4-2 berbanding 4-0.

“Saya telah berbincang dengan ketua jurulatih kebangsaan, A. Arul Selvaraj dan telah mengenal pasti beberapa tenaga pakar teknikal untuk pukulan sudut penalti. Saya akan berunding dengan beberapa daripada mereka tetapi terlalu awal untuk mendedahkan nama calon,” katanya.