Pemain tengah Tottenham Hotspur, Pierre-Emile Hojbjerg mengakui ketua pasukannya, Harry Kane langsung tidak terkesan dengan kegagalan membawa England ke separuh akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.

Seperti diketahui, Kane menjadi mangsa kritikan selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika bertemu Perancis yang menyaksikan England tersingkir di peringkat suku akhir.

Sehubungan dengan kegagalan tersebut, ada pihak yang mengkritik dan memandang rendah kemampuan peledak berbisa berusia 29 tahun itu.

Malah, penyokong Brentford yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan malam tadi bertemu Tottenham juga turut melaungkan kata-kata ‘Anda mengecewakan negara anda’ kepada Kane.

Bagaimanapun pada aksi tersebut, Kane membuatkan para penyokong tersebut diam seribu bahasa dengan memberikan sumbangan berkesan untuk membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan dua gol.

Kane menanduk masuk bola hasil hantaran kemas Clement Lenglet dan kemudiannya Hojbjerg menambah gol kedua untuk memastikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.

Susulan aksi di laman lawan itu, Hojbjerg tampil mempertahankan Kane dan menganggap beliau merupakan antara penyerang terbaik di dunia.

“Memandang rendah dan meremehkan kemampuan Harry Kane adalah merupakan satu kesilapan besar,” ujar Hojbjerg menurut laporan BBC.

“Dia adalah mesin [mendapatkan jaringan]. Dia mempunyai kualiti yang cukup hebat untuk menjadi [pemain] nombor satu di dunia.”

“Kesilapan terbesar yang boleh anda lakukan dalam bola sepak ialah meragui kemampuan Harry Kane.”

Gol yang dihasilkannya malam tadi merupakan jaringan ke-13 beliau dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sekali gus yang ke-196 secara secara keseluruhan.

 

 

Sumber