Tidak ramai yang mengetahui selepas Malaysia menjuarai Piala AFF Suzuki edisi 2010, musim berikutnya ada pemain-pemain Malaysia yang sudah mendapat perhatian dari kelab-kelab luar negara.

Salah seorang dari skuad K.Rajagopal pada ketika itu yang dimaklumkan menerima undangan untuk menyertai sesi percubaan adalah Safiq Rahim.

Mungkin Safiq sendiri tidak maklum dengan nama kelab, tetapi hanya mengetahui ada kelab yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya di eropah. HJK Helsinki, sebuah kelab bola sepak tersohor di Finland pernah membuat tawaran bagi menyertai sesi percubaan selama 2 minggu.

HJK Helsinki adalah sebuah kelab yang pada ketika itu beraksi dalam pusingan kelayakan UEFA Champions League, namun terkandas pada pusingan ke 3 selepas tewas dengan agregat 1-3 kepada Dinamo Zagreb.

Kelab HJK seterusnya layak berada dipusingan play-off UEFA Europa Cup 2011/12. Mereka tewas bertemu kelab dari Jerman, Schalke 04 dengan keputusan agregat 3-6.

Kami difahamkan bahawa, kelab HJK Helsinki tidak mampu memberikan tawaran yang tinggi tetapi sekitar USD10,000 selain dari kemudahan lain disediakan seperti penginapan, makanan dan sebagainya.

Perkara ini bagaimana pun tidak menjadi kenyataan kerana wujud persoalan samada adakah dengan bermain diluar negara, mampu untuk memberi jaminan kepada pelbagai perkara yang menjadi prioriti pemain-pemain tempatan selain keselesaan.

Untuk makluman juga, HJK Helsinki merupakan kelab paling banyak menjuarai liga bola sepak tertinggi Finland yang dikenali sebagai Veikkausliiga, apabila muncul sebagai juara sebanyak 12 kali sejak diperkenalkan pada 1990.

Nota: Tahun yang sama, Safiq Rahim telah menghadiri sesi percubaan bersama kelab divisyen 2 Inggeris dari Wales, Cardiff City FC.