Pemain import Selangor TOT United, Antonio Massanori Hirata Neto enggan terlalu memikirkan tentang jaringan peribadinya dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023.

Beliau yang merupakan pemain skuad futsal kebangsaan Jepun sebaliknya mahu fokus dalam memberikan sumbangan berkesan buat kelab tersebut untuk mencatatkan kemenangan pada aksi liga.

Mula beraksi pada pusingan kedua MPFL 2023, Hirata telah membuat tiga penampilan dan menghasilkan dua jaringan di mana kedua-dua gol itu dijaringkan ketika Selangor TOT United bertemu Shah Alam City.

Kemenangan yang menjarakkan lagi kedudukan Selangor TOT United untuk meninggalkan pencabar terdekat itu dengan jurang tiga mata.

“Saya tidak kisah mengenai berapa jumlah gol yang dapat saya sumbangkan,’’ ujar Hirata bercakap kepada wakil Vocket FC.

Hirata meraikan jaringan ketika bertemu Shah Alam City. Kredit Foto: Selangor TOT United

“Tetapi sebaliknya keutamaan saya untuk memberikan sumbangan berkesan dalam membantu pasukan untuk meraih kemenangan.’’

“Sejak saya bersama Selangor TOT United, pasukan dan para pemain dalam skuad ini telah melakukan dengan cukup baik. Saya mahu terus bekerja keras untuk berlawan dengan segala kudrat dan kekuatan saya bagu membantu pasukan.’’

“Helio Neto (seorang lagi pemain inport) juga banyak membantu saya di dalam dan luar gelanggang. Saya bersyukur dengan keadaan ini,’’ tambah Hirata lagi.

Hirata dan Selangor TOT United tidak beraksi pada minggu ini dan akan bertemu juara bertahan, Selangor MAC pada minggu hadapan di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam.