Menyebut tentang Juninho Pernambucano, sudah pasti sentuhan memukau dijelmakannya dalam menyudahkan sepakan percuma akan sentiasa bermain di minda seluruh peminat bola sepak dunia.

Kualiti hebat dimiliki telah meletakkan bekas ketua pasukan Lyon itu sebaris dengan pakar sepakan percuma yang lain seperti David Beckham, Cristiano Ronaldo, Andrea Pirlo dan ramai lagi.

Berdasarkan statistik, daripada 100 gol yang dihasilkannya sepanjang lapan musim [bermula musim 2001/02] bersama kelab Ligue 1 tersebut, Juninho telah berjaya meledakkan 44 gol menerusi situasi bola mati itu.

Maka, tidak hairanlah keupayaan hebatnya itu menjadikan beliau sebagai antara pakar sepakan percuma dalam kancah bola sepak dunia.

Tambahan lagi, jaringan-jaringan yang dihasilkannya sememangnya begitu memukau dan acap kali menghampakan penjaga gol pasukan lawan.

Hakikat mengenai kehebatannya itu turut diakui sendiri legenda bola sepak Itali yang kini bertindak selaku pengurus skuad Juventus, Andrea Pirlo, menurut laporan dikeluarkan Sport Bible.

”Ketika beraksi bersama Lyon, dia [Juninho] telah melakukan banyak perkara yang luar biasa. Dia meletakkan bola di atas padang, memusingkan badannya dengan beberapa keadaan yang aneh, melakukan larian dan kemudiannya menjaringkan gol.”

”Dia tidak pernah salah. Memang tidak pernah. Saya telah memeriksa statistiknya dan menyedari semua itu [jaringan menerusi sepakan percuma] bukanlah satu kebetulan.”

Dalam pada itu, Juninho tanpa berselindung mengakui beliau menjadikan bekas pemain skuad kebangsaan Brazil, Marcelinho sebagai model ikutannya dalam menjadi seorang yang begitu cemerlang dalam menyempurnakan sepakan percuma.

”Saya mula meniru gaya sepakan percuma yang diambil oleh Marcelinho, dimana dia bermain untuk Corinthians. Dia merupakan salah seorang daripada sumber inspirasi, dan pemain pertama yang pernah saya lihat melakukan sepakan seperti itu dan membuatkan bola ‘seperti menari di udara’.”

”Keadaan itu juga menceritakan bahawa teknik tersebut bukanlah dipelopori oleh saya. Didi yang memenangi Piala Dunia 1958 dan 1962 bersama Brazil juga melakukan perkara sama.”

”Saya sentiasa mempunyai kehebatan dalam melakukan rembatan, tetapi sewaktu kecil, saya tidak mempunyai kekuatan yang cukup untuk menjaringkan gol menerusi sepakan percuma.”

”Saya bermain futsal sehingga berusia 13 tahun dan tidak banyak menjaringkan gol tetapi ketika itulah saya mula untuk mengambil beberapa sepakan percuma.”

”Benteng itu terlalu dekat, jadi ia membuatkan sangat sukar buat saya untuk menjaringkan gol. Ia tidak begitu berhasil sehinggalah saya ke Perancis dimana saya berjaya menguasai teknik tersebut di sana,” ujar Juninho Pernambucano menurut laporan Sport Bible.

Teruskan membaca 3 artikel terpilih berkaitan bola sepak Eropah yang kami  sediakan untuk anda.

Ultras Marseille Rempuh Kompleks Kelab Dan Mahu Presiden Berambus

KV Kortrijk Pecat Pengendali Pasukan, Yves Vanderhaeghe

EPL: Gol Trossard Buatkan Spurs Merana Satu Lagi Kekalahan

Sumber