Pasukan kebangsaan membuat persiapan awal menjelang kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan bermula pada September ini dengan melantik jurulatih kelahiran Perancis, Herve Renard sebagai pengendali baharu pasukan.

Renard sebelum ini meletak jawatan sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Maghribi setelah pasukan itu tersingkir di peringkat 16 pasukan terakhir dalam temasya Africa Cup of Nations dimana mereka tewas kepada Benin menerusi penentuan sepakan penalti.

Jurulatih berusia 50 tahun itu menyatakan beliau gembira dengan tugasan baharu bersama pasukan gergasi dari rantau Asia Barat itu dan tidak sabar untuk memulakan tugas dalam saingan peringkat kelayakan.

Herve Renard
Sumber Gambar: Morocco World News

“Saya berasa gembira memulakan pengembaraan baharu bersama Arab Saudi,” kata Herve.

Herve Renard mempunyai pengalaman luas dan pernah meraih beberapa kejayaan ketika menguruskan pasukan dari benua Afrika. Pada 2012, beliau membimbing Zambia memenangi Africa Cup of Nations sebelum mengulangi kejayaan sama pada 2015 ketika beliau membimbing pasukan kebangsaan Ivory Coast.

Ketika mengendalikan Maghribi selama dua tahun, Renard membawa The Atlas Lions melonjak daripada kedudukan ke-81 dalam Ranking FIFA ke kedudukan ke-47. Satu lonjakan yang begitu ketara memandangkan beliau hanya mempunyai masa yang singkat bersama Maghribi.

Dalam saingan peringkat kelayakan, Arab Saudi diundi dalam kumpulan D bersama Uzbekistan, Palestin, Yemen and Singapura. Skuad The Green Falcon akan memulakan kempen menentang Yemen pada 10 September sebelum melayan kunjungan Singapura pada 10 Oktober.