Destinasi pemain pertahanan tinggi lampai dari Perancis, Herold Goulon akhirnya diketahui apabila Kelab Bola Sepak Negeri Sembilan (NSFC) semalam mengumumkannya sebagai pemain import baharu untuk saingan Liga Malaysia musim 2022.

Memiliki ketinggian 195 cm, Goulon merupakan tonggak utama skuad tok gajah pada musim 2019 hingga 2021. Walaupun tidak berjaya memenangi sebarang trofi bersama Sri Pahang, kehadirannya sentiasa ditagih untuk memantapkan benteng pertahanan pasukan itu.

Malah, Goulon pernah menjadi buah mulut para peminat bola sepak tempatan apabila melakukan jaringan sepakan percuma jarak jauh ketika aksi separuh akhir pertama Piala FA, Pahang menentang Perak pada bulan Jun 2019.

Jaringan tersebut bukan sahaja menjadi bualan peminat bola sepak tempatan tetapi turut mendapat liputan yang meluas daripada media antarabangsa.

Beliau juga boleh beraksi di posisi tengah kerana mempunyai kemampuan mengawal bola sambil mengekang asakan penyerang lawan. Mungkin kelebihan ini menarik minat ketua jurulatih Negeri Sembilan, K. Devan untuk memancing pemain tersebut menghadapi saingan Liga Super 2022 yang lebih mencabar.

Pada usia yang kini mencecah 33 tahun, Herold Goulon dijangka akan menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional dalam Liga Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah. 

Penyerang Prolifik Jordan, Mahmoud Zatara Umum Sertai Sri Pahang

Penyerang Berbisa Dari Brazil, Herlison Caion Sah Sertai Selangor

Hairuddin Omar Sertai Barisan Kejurulatihan Terengganu Musim Depan

Penang Berlatih Lebih Awal Sebagai Persiapan Hadapi Musim 2022