Penjaga gol pasukan Pahang, Helmi Eliza Elias menegaskan beliau sudah tidak sabar untuk kembali beraksi bersama skuad Tok Gajah dalam saingan Piala Malaysia 2019.

Sebelum ini, bekas penjaga gol Kedah itu mengalami kecederaan lutut kiri dan kini beliau berada dalam fasa pemulihan apabila mula menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan yang lain.

Helmi-Eliza-Elias
Sumber Gambar: Pahang FA

“Saya harap ia (kecederaan) pulih sepenuhnya dalam seminggu dua lagi dan seterusnya dapat kembali (beraksi) bersama pasukan dalam saingan Piala Malaysia.

“Setakat ini, ada perkembangan positif dan saya sudah dapat turun berlatih bersama rakan lain… saya perlu tingkatkan tahap kecergasan untuk kembali kepada prestasi terbaik sebelum dapat diturunkan dalam perlawanan sebenar,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Akibat daripada kecederaan lutut yang dialami, Helmi Eliza terlepas baki 5 perlawanan Liga Super musim ini dimana tempat beliau diisi oleh penjaga gol kedua, Remezey Che Ros.

Tambah Helmi, kejayaan Pahang muncul sebagai naib juara Liga Super menyemarakkan lagi semangat beliau dan berazam untuk membantu pasukan itu memenangi Piala Malaysia musim ini.

Piala Malaysia 2019

Dalam saingan Piala Malaysia musim ini, Pahang diundi dalam kumpulan C bersama pasukan Perak, Sabah dan Pulau Pinang.