Pemain import Selangor TOT United, Raimundo Helio Carneiro Neto beranggapan barisan pemain muda berkualiti yang dimiliki kelab tersebut mampu untuk memberikan cabaran sengit kepada pasukan gergasi futsal tanah air.

Menggugurkan sebahagian besar pemain musim lalu serta tiga tonggak utama yang dipancing pasukan lawan, skuad kendalian Patt Sriwijit dari Thailand itu dilihat mengambil pendekatan untuk menaikkan bakat-bakat muda.

Antara pemain muda yang bakal menggalas cabaran Selangor TOT United pada musim ini ialah Iqhmal Najmie Ismail, Haiqal Hasnor, Amirul Radzi, Kairul Sukri, Shamil Azmi, Mohd Taufik, Imran Khairi dan Taufik Wahab.

Di samping itu, khidmat beberapa bekas pemain skuad kebangsaan seperti Yazid Kamaruzuan, Syafiq Hamzah dan Muhammad Farikh Khabibor Rahman turut ditagih untuk mengimbangi kekuatan pasukan terutamanya dalam aspek pengalaman.

Sehubungan dengan itu, Helio Neto yang cukup arif dengan kancah futsal Asia Tenggara apabila bersama Bluewave Chonburi melihat adunan tersebut bakal menjanjikan sesuatu buat pasukan dalam menghadapi saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini.

Malah, beliau melihat faktor kepercayaan antara satu sama lain bakal menjadi teras utama dalam usaha untuk memberikan saingan hebat kepada pasukan-pasukan besar seperti Selangor MAC, Johor Darul Ta’zim (JDT), Pahang Rangers dan banyak lagi.

“Apabila menyertai satu-satu pertandingan, saya mahu mencapai kemenangan, saya tidak suka kekalahan tetapi kami mengetahui bahawa terdapat banyak pasukan hebat dalam saingan liga.”

“Kami menghormati semua pasukan, ia memang menjadikan peluang kami sukar untuk muncul juara dimana pasukan kami terdiri daripada ramai pemain muda tetapi kami juga mempunyai ramai pemain berkualiti.”

“Sekiranya mereka dapat mempercayai antara satu sama lain, kami akan mampu untuk bersaing sengit dengan kelab-kelab besar di Malaysia.”

“Mengenai persiapan pasukan, kami bekerja keras pada setiap hari untuk terus meningkat. Kami juga masih dalam proses untuk lebih mengenali antara satu sama lain kerana terdapat ramai pemain baharu dalam pasukan ini.”

“Tetapi, saya percaya bahawa kami semua telah bersedia untuk menghadapi pertandingan ini,” ujar Helio Neto bercakap kepada wakil Vocket FC.

Bakal membuat penampilan kedua dalam saingan MPFL yang akan bermula pada Sabtu ini, Selangor TOT berada di kumpulan B bersama-sama Selangor MAC, JDT, Kuala Lumpur, Kuala Lumpur City FC, Shah Alam City dan PFA Odin Sarawak.

Aksi pertama bakal dihadapi oleh Selangor TOT ialah bertemu Kuala Lumpur di Kompleks Sukan Negara Panasonic, Shah Alam pada jam 11 pagi, Ahad nanti.