Pengarah Teknikal Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menegaskan bahawa juara Liga Super sembilan musim berturut-turut itu sangat menitikberatkan komitmen tinggi daripada para pemain untuk mereka berkembang maju bersama pasukan.

Dibarisi majoriti pemain yang berkualiti tinggi dalam kancah bola sepak tempatan tidak mengira pemain import atau tempatan, persaingan sengit sesama pemain sudah pastinya akan dapat disaksikan dalam kem JDT.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di JOHOR Southern Tigers, Bidoglio turut berpendapat segalanya terserah kepada para pemain itu sendiri untuk mengambil persaingan itu sebagai cabaran dalam karier mereka.

Malah, beliau yang sebelum ini bergelar ketua jurulatih turut menyebut beberapa nama pemain yang menunjukkan peningkatan drastik sehingga mampu menjadi antara sandaran pasukan pada musim ini.

“Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kelab berprestasi tinggi di mana ‘survival of the fittest’ (keperluan untuk menjadi yang paling cergas) adalah mustahak. Tiada ruang untuk kelekaan,” ujar Bidoglio.

“Arif Aiman ​​Hanapi adalah contoh anak muda yang menunjukkan komitmen, keinginan dan prestasi yang terbaik. Hong Wan dan Feroz Baharudin, kedua-duanya pemain berusia 22 tahun telah mengambil peluang yang diberikan pada tahun ini dengan cemerlang.”

“Hong Wan telah memulakan perlawanan sebanyak 16 kali dan beraksi dari bangku simpanan sebanyak 12 kali manakala Feroz pula memulakan perlawanan sebanyak 8 kali selepas mempamerkan aksi cemerlang di JDT II.”

“Shahrul Saad merupakan satu lagi contoh. Beliau tidak berada dalam kesebelasan utama sebelum Liga Juara-Juara AFC, tetapi beliau menunjukkan sikap profesionalisma, semangat dan prestasi yang terbaik untuk berada dalam kesebelasan utama berbanding pemain luar negara.”

“Hasilnya, beliau telah mencatatkan 34 kali permulaan perlawanan. Syafiq Ahmad turut menunjukkan aksi cemerlang di padang latihan dan mempamerkan aksi yang baik dalam 15 penampilan sejak kembali daripada pinjaman.”

Bukan mahu membuat spekulasi tidak berasas tetapi kenyataan dikeluarkan Bidoglio ini seolah-olah respon kepada kenyataan Safawi Rasid yang ingin mencari pasukan baharu sebaik sahaja tamat tempoh pinjaman di Ratchaburi kerana tidak mahu terus berada di bangku simpanan [ketika di JDT].