Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio menegaskan masih banyak yang perlu diperbaiki selepas pasukannya tewas 0-5 kepada Urawa Red Diamonds ketika aksi pusingan 16 AFC Champions League (ACL) di Stadium Saitama semalam.

Dalam perlawanan itu, Harimau Selatan beraksi tanpa kelibat tonggak import tengah, Leandro Velazquez yang digantung perlawanan. Nazmi Faiz Mansor mengisi kekosongan tersebut sambil beliau dibantu oleh Natxo Insa. Lebih menarik, pemain naturalisasi Indonesia, Jordi Amat turut membuat penampilan sulung beraksi di posisi tengah bertahan.

Menurut kenyataannya di laman facebook JDT, moral pemainnya mulai merosot selepas bolos awal menerusi jaringan penalti pada minit ke 8 sekaligus menjejaskan corak permainan mereka.

“Ini merupakan tahap tertinggi bola sepak di Asia, di mana ‘awareness’ dan ‘decision-making’ para pemain adalah sangat penting. Anda tidak boleh melakukan kesilapan.

“Kami dibolosi awal melalui sepakan penalti dan sepakan percuma, dan moral pemain mulai merosot. Kami juga tidak melakukan hantaran-hantaran biasa kami, sebaliknya melakukan hantaran bola jauh.

“Saya mengingatkan pemain supaya sentiasa berpegang kepada falsafah permainan kami. Kami menggerakkan bola dengan lebih baik pada separuh masa kedua dari segi cara kami mahu pasukan kami bermain,” katanya.

Urawa Red yang merupakan juara bagi edisi 2007 dan 2017 tampil dengan cukup bertenaga dihadapan penyokong sendiri mereka untuk melakar kemenangan. Jentera serangan mereka kerap kali memberi masalah kepada JDT dengan menggunakan kelajuan.

JDT turut mendapat beberapa peluang terbaik menerusi percubaan jarak jauh daripada Fernando Forestieri, Bergson da Silva dan Safawi Rasid tetapi wakil dari Jepun itu kental bertahan untuk menghalang gawang mereka daripada dibolosi.

“Ia bukan mudah bermain menentang kelab-kelab dari Jepun. Mereka adalah gergasi Asia dan Urawa juga merupakan juara ACL dua kali. Kami akan mempertingkatkan diri tetapi ianya akan mengambil masa.

“Pasukan ini telah menunjukkan kemajuan pada pertandingan ACL setiap tahun dan saya percaya ini akan berterusan sambil kami berusaha untuk mencapai tahap yang lebih tinggi. Kami akan pulang dan terus berusaha untuk mempertingkatkan lagi diri kami,” jelas Hector.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia melalui pautan dibawah.

Final Piala FA Serentak Dengan Konsert Dewa 19, Bukit Jalil Dijangka Sesak Teruk Pada 10 September

Gol Jarak Jauh Sean Selvaraj Dihantar Ke FIFA Untuk Pencalonan Anugerah PUSKAS

RASMI: Selangor Umum Nidzam Jamil Sebagai Ketua Jurulatih Sementara

TRW Kelantan Jadikan Tuntutan Kes Fitnah Sebagai Sedekah

Piala FA 2022: JDT Mara Ke Final Selepas ‘Tibai’ Penang 6-1