Bekas pakar analisis pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Haydee Agras kini meneruskan kariernya di Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas dilantik sebagai pakar analisis salah sebuah kelab di saingan tersebut.

Menurut perkongsian Haydee di laman media sosial Instagram miliknya, beliau menyertai Brentford dan sudah memulakan tugas sejak awal bulan Januari lalu.

“Saya memulakan langkah dan ianya terus memberikan peluang kepada saya untuk mengembara di seluruh dunia. Bulan Januari dimulakan dengan pengbaraan saya sebagai pakar analisis bersama Brentford,” kata Haydee Agras.

Haydee meninggalkan JDT pada Julai 2022 lalu dan beliau mengucapkan terima kasih kepada pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta bekas ketua jurulatih pasukan, Benjamin Mora sepanjang berkhidmat bersama kelab tersebut.

“Saya sudah berada di kelab ini sejak tahun 2019 dan hari ini adalah masa untuk saya mengucapkan selamat tinggal. Banyak perkara yang saya pelajari dan saya mengambil pengalaman daripadanya dan sudah pasti akan saya bawa sepanjang hidup saya.

“Terima kasih kepada TMJ kerana memberi saya peluang untuk berada menjadi sebahagian daripada keluarga JDT. Saya terhutang budi dengan peluang yang sudah diberikan untuk mengembangkan lagi kerja saya dan berjuang untuk pihak kamu.

“Terima kasih juga kepada Benjamin Mora kerana memberikan peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada staff anda. Tahap profesionalisma, cara kerja dan sifat kemanusiaan adalah melebihi pencapaian anda sebagai ketua jurulatih JDT. Dan ini membuktikan banyak perkara. Legasi,” katanya.

Bekas pemain futsal ini dilaporkan diberi tugasan untuk menyediakan kira-kira 300 laporan lengkap perlawanan dan menonton 400 perlawanan bola sepak setiap tahun.

Peranan Haydee secara tidak langsung menjadi nadi utama pasukan dalam meraih kejayaan sejak beliau menyertai pasukan pada musim 2019 lalu.