Chelsea keciciran mata di tempat sendiri apabila diikat oleh Burnley. Bintang The Blues, Kai Havertz menyatakan bahawa beliau sangat kecewa.

Ini kerana menurutnya, lawan mereka semalam bukan datang untuk bermain bola tetapi hanya untuk bermain kasar.

Chelsea mendahului menerusi Kai Havertz pada minit ke-33. Namun, Burnley mampu menyamakan kedudukan pada minit ke-79 menerusi jaringan Matej Vydra.

Chelsea sangat dominan dalam aksi kali ini. Namun Burnley menggunakan pendekatan yang sangat fizikal. Sehinggakan Havertz meluat dengan cara permainan The Clarets.

Secara keseluruhan Chelsea melakukan 25 percubaan ke arah gol. Malangnya hanya 4 sahaja yang tepat. Berbanding Burnley dengan hanya 5 percubaan dan 2 tepat.

Selepas perlawanan itu, Havertz berang dengan persembahan Burnley. Pemain Jerman berkata: “Dalam tujuh perlawanan terakhir saya fikir kami telah bermain dengan sangat baik, termasuk hari ini.”

“Kami tahu bahawa Burnley bukanlah pasukan yang mahu bermain bola sepak. Tetapi ya, mereka mempunyai satu peluang dan menjaringkan gol.”

“Kami mempunyai banyak peluang tetapi juga hanya menjaringkan satu gol, jadi kami kehilangan dua mata besar. Sudah tentu, ia sangat mengecewakan.”

Sementara itu pengurus Chelsea, Thomas Tuchel menganggap Burnley seri sebab nasib. Ini kerana anak anak buahnya sangat dominan. Namun Tuchel menyatakan itu adalah sebahagian daripada bola sepak.

Di mana pasukan seperti Burnley masih boleh membawa pulang 1 mata dengan elemen nasib.

“Ia adalah 90 minit yang hebat apabila anda melihat persembahannya. Itu hanya boleh berlaku dalam bola sepak,” kata Tuchel.

“Itulah sebabnya semua orang sukakan permainan – satu pasukan boleh mencuri mata jika pasukan lain terlupa untuk menjaringkan gol yang sepatutnya.

“Tetapi kami bermain dengan sangat hebat. Sudah tentu saya kecewa. Jika kita bermain permainan ini 100 kali, kita akan menang 99 kali daripadanya. Hari ini kami tidak memenanginya.”