Selangor bangkit dengan penuh bergaya apabila berjaya menundukkan Perak 3-1 pada aksi kelapan Liga Super Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.

Kemenangan ini penting buat Selangor untuk kembali bangkit daripada kekalahan ke atas Kedah tempoh hari di gelanggang yang sama.

Tonggak import, Ifedayo Olusegun Omosuyi menjadi watak penting buat Selangor pada perlawanan ini setelah beliau meledakkan hatrik untuk menghadiahkan kemenangan ketiga buat skuad Gergasi Merah tersebut.

Penyerang kelahiran Nigeria itu tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan apabila beliau dengan mudah menolak masuk bola hasil hantaran lintang Jordan Ayimbila seawal minit kelapan.

Selangor yang jelas beraksi dengan lebih baik sejak dari awal permainan hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-22 tetapi tandukan Ifedayo setelah menerima hantaran lintang daripada Brendan Gan ditepis penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Perak yang sesekali mencipta gerakan ke kubu Selangor turut mendapat peluang terbaik, namun rembatan padu dalam kawasan penalti Guilherme De Paula dinafikan dengan cemerlang penjaga gol tuan rumah, Mohd Khairulazhan Khalid.

Kem Selangor sekali lagi melonjak kegembiraan selepas Ifedayo menyempurnakan sepakan penalti ketika perlawanan memasuki minit ke-31 susulan kekasaran dilakukan Leandro Dos Santos terhadap Oliver Buff dalam kawasan penalti.

Memiliki kelebihan dua jaringan di babak kedua, Selangor masih tidak mengendurkan asakan meskipun Perak juga dilihat bekerja keras untuk merapatkan defisit jaringan.

Buff terlepas peluang untuk menambah jaringan sebaik sahaja aksi separuh masa kedua bersambung setelah tandukannya sekadar melewati palang gol.

Pemain gantian Selangor, Muhammad Shahrel Fikri turut merasai nasib yang sama seperti rakan sepasukannya itu apabila tolakannya ke arah pintu gol susulan kesilapan Hafizul Hakim berjaya dinafikan penjaga gol utama Perak tersebut pada minit ke-70.

Terus bernafsu untuk memburu jaringan, giliran Mukhairi Ajmal pula meledakkan rembatan yang sekadar singgah di palang gol untuk memberikan sepakan percuma buat tuan rumah.

Sepakan diambil Mukhairi pada minit ke-71 itu terus ke kepala Brendan Gan yang kemudiannya mencari Ifedayo untuk menanduk masuk bola sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 serta hatrik buatnya pada perlawanan ini.

Jaringan saguhati Perak menjelma pada masa kecederaan apabila pemain gantian, Farid Khazali mudah menolak masuk hantaran Guilherme De Paula untuk perlawanan berakhir dengan keputusan 3-1 memihak Selangor.