Ketua jurulatih skuad B-19 tahun negara, Hassan Sazali Waras tanpa berselindung mengakui disiplin ketika bertahan yang ditampilkan Singapura menyebabkan kesukaran buat anak buahnya pada aksi kedua Kejuaraan AFF B-19 2022, petang semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Stadion Madya, Senayan itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan terikat tanpa jaringan.

Kegagalan untuk mendapatkan tiga mata penuh itu bagaimanapun tidak mengecewakan pengendali berusia 57 tahun itu dimana beliau menganggap ia masih merupakan satu keputusan yang baik buat skuad muda negara.

“Keputusan yang agak baik walaupun kita mencatatkan keputusan seri tetapi kita masih belum tewas sepenuhnya. Kita masih memperoleh satu mata,” ujar Hassan.

“Dengan apa yang kita tampilkan hari ini [semalam], pasukan Singapura lebih tersusun di barisan pertahanan dan mereka tidak memberi ruang yang terlalu besar bagi pasukan kita sendiri terutamanya buat barisan penyerang kita.”

Kredit Foto: FAM

”Dengan pertukaran dua pemain di awal babak kedua, saya nampak lebih efektif di barisan serangan dimana kita memasukkan dua pemain serangan terutamanya di bahagian tengah dan kiri.”

”Jadi, itu yang berada dalam perancangan kita [menggandakan asakan] sebenarnya tetapi kita masih belum dapat menghasilkan jaringan, disebabkan pasukan lawan yang lebih tersusun.”

”Perlawanan seterusnya kita akan bertemu dengan Timor Leste pada 9 Julai dan kita akan bermain pada sebelah malam.”

“Jadi, dua perlawanan awal kita bermain di sebelah petang jadi mungkin [bukan alasan] tetapi mungkin dengan cuaca yang agak panas kita bermain pada pukul tiga kerana itulah pada separuh masa kedua kita lebih efektif,” tambah Hassan Sazali lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan AFF B-19 melalui pautan dibawah.

AFF B-19: Ketumpulan Penyudah Paksa Malaysia, Singapura Kongsi Mata

Analisis Taktikal Malaysia B-19 vs Kemboja B-19: Rigid vs ‘Route One Football’

AFF B-19: Malaysia Bermula Dengan Kemenangan, Atasi Kemboja