Ketua jurulatih skuad bawah 19 tahun (B-19) negara, Hassan Sazali Waras tampil membuat pendedahan mengenai pemilihan ramai muka baharu bagi menghadapi kejohanan Youth International U-19 Football Tournament 2022 yang akan berlangsung dari 5 hingga 11 Ogos nanti di Binh Duong, Vietnam.

Menurut Hassan, langkah tersebut adalah untuk memberi peluang kepada pemain-pemain yang tidak terpilih ke Indonesia tempoh hari untuk menunjukkan kemampuan mereka sekaligus meningkatkan jumlah pemain B-19 negara.

Seperti diketahui, skuad negara masih segar dengan kejayaan muncul juara Kejuaraan AFF B-19 yang berlangsung di Bekasi, Indonesia pada bulan lalu selepas berjaya menundukkan Laos 2-0 dalam aksi final.

Kejayaan manis itu bagaimanapun tidak seharusnya diraikan dalam tempoh masa yang lama kerana mereka mempunyai misi lebih besar selepas ini iaitu Kelayakan Piala Asia B-20 2023 pada bulan hadapan.

Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia

“Semua pemain yang dipanggil sama ada ketika saingan AFF tempoh hari atau kejohanan jemputan ini mempunyai peluang untuk dibawa ke Mongolia bagi kelayakan Piala Asia B-20 pada September ini.”

“Saya ingin melihat pemain mana yang betul-betul boleh dibawa untuk menghadapi kelayakan itu,” ujar Hassan ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma FAM.

Pada kejohanan jemputan yang dianjurkan Persatuan Bola Sepak Vietnam (VFF) itu, Malaysia akan bersaing bersama tiga pasukan lain iaitu tuan rumah, Vietnam, Thailand dan Myanmar.

Berdasarkan jadual perlawanan, skuad B-19 kebangsaan akan memulakan saingan dengan perlawanan pertama menentang Thailand pada 5 Ogos, Vietnam pada 7 Ogos dan aksi terakhir bertemu Myanmar pada 9 Ogos 2022. Perlawanan penentuan tempat ketiga dan Final akan diadakan berselang dua hari kemudian.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Fabregas Kini Bergelar Pemain, Pemegang Saham Kelab Milik Rakyat Indonesia

Barca Sedia Tamatkan Kontrak Depay Namun Tak Dapat Tebus Pampasan €20Juta

AFF B-16 2022: Malaysia Lakar Kemenangan Ke Atas Kemboja