Undian bagi perlawanan pusingan ketiga saingan Piala FA 2019 telah berlangsung sebentar tadi dan boleh dikatakan tiada pertembungan diantara pasukan-pasukan besar khususnya pasukan yang beraksi dalam saingan Liga Super.

Juara edisi tahun lalu, Pahang diundi bertemu dengan pasukan UKM FC. Skuad Tok Gajah berjaya memenangi Piala FA 2018 setelah menewaskan pasukan Selangor dengan keputusan 2-0 pada perlawanan akhir.

Naib juara, Selangor akan menerima kunjungan daripada juara Liga Perdana 2018, Felda United di Stadium Shah Alam. Kedua-dua pasukan bertemu pada perlawanan pertama Liga Super 2019 dimana Selangor dan Felda berkongsi satu mata.

Pasukan bimbingan Abu Bakar Fadzim, PKNP FC akan bertemu sama ada pasukan PDRM FA ataupun Sarawak. Perlawanan antara PDRM dan Sarawak pada Selasa lalu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Majlis Perbandaran Selayang terpaksa ditunda ke satu tarikh yang lain setelah hujan lebat menjejaskan permukaan padang.

Juara edisi 2016, Johor Darul Ta’zim bakal turun menentang pasukan bimbingan Datuk K.Rajagopal, PKNS FC di Larkin. Setelah kecundang di peringkat suku akhir pada dua edisi sebelum ini, kelab milik Tunku Ismail Sultan Ibrahim ini sudah pasti mahu menebus kekecewaan dan kembali memberikan saingan pada edisi kali ini.

Kelab yang beraksi dalam saingan Liga M3, Kelantan United akan menerima kunjungan Terengganu FC. Kelantan United sudah pasti mahu membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk memberikan saingan apatah lagi pasukan utama, Kelantan telahpun tersingkir. Pasukan dari Pahang, Jerantut FA pula akan menerima kunjungan juara Piala Malaysia 2018, Perak.

Akhir sekali, juara edisi 2017, pasukan Kedah akan menjamu Petaling Jaya City FC manakala pasukan ibu kota yang baru merasai kemenangan pertama musim ini, Kuala Lumpur akan turun menentang Pulau Pinang.

Pasukan-pasukan besar terutamanya dari Liga Super seperti Pahang, Terengganu FC dan Perak tidak boleh memandang mudah cabaran yang akan diberikan oleh lawan masing-masing.

Kelantan United dan Jerantut FA mempunyai mentaliti Nothing To Lose dalam saingan Piala FA 2019 dan mereka bakal turun dengan kemampuan sebenar serta membariskan pemain terkuat mereka.