Ketua jurulatih pasukan futsal Indonesia, Mohammad Hashemzadeh tanpa berselindung mengakui perubahan yang lebih jelas bakal dapat disaksikan dalam usaha beliau untuk meningkatkan lagi kualiti skuad jiran tetangga itu.

Barisan pemain Indonesia nyata telah mempamerkan corak permainan bertenaga sepanjang Kejuaraan Futsal AFF 2022 yang berakhir semalam dimana mereka berjaya dua kali mengikat gergasi Asia, Thailand dan hanya tewas pada perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti kepada lawan tersebut.

Malah, pemain-pemain seperti Holypaul Septinus Soumilena, Muhammad Albagir, Ardiansyah Runtuboy serta Syauqi Saud Lubis berjaya mencuri tumpuan ramai dengan persembahan menarik ditampilkan mereka.

Pencapaian meraih tempat kedua buat kali kedua berturut-turut serta bakal kembali membuat penampilan dalam Kejuaraan Futsal AFC menyaksikan masa depan Indonesia kelihatan lebih cerah di bawah kendalian jurulatih dari Iran tersebut.

Perkembangan positif tersebut disifatkan oleh Hasemzadeh yang hanya mempunyai tiga hari masa untuk melatih anak buahnya sebelum menyertai kejohanan di Bangkok itu sebagai petanda baik buat futsal Indonesia untuk lebih berkembang pada masa akan datang.

Mohammad Hashemzadeh baharu sahaja membimbing skuad kebangsaan Indonesia. Kredit Foto: Imane Thailand

“Ia satu perlawanan yang begitu mendebarkan [final]. Saya mengagumi semua pemain Indonesiam mereka melakukan tugasan dengan cukup hebat,” ujar Hashemzadeh menurut laporan dikeluarkan Futsal Thailand.

“Sayang sekali kami tidak dapat menewaskan pasukan kebangsaan Thailand pada masanya, Tetapi futsal adalah permainan seperti ini. Kami kalah tetapi masih banyak yang perlu untuk kami perbaiki.”

“Kami menurunkan ramai pemain baharu, ada antara mereka belum pun berusia 21 tahun dan saya sendiri baru-baru sahaja mengendalikan pasukan. Saya rasa dalam pasukan Indonesia ini masih banyak aspek yang perlu diperbaiki.”

“Tetapi, dapat mencatatkan keputusan seri bertemu skuad kebangsaan Thailand adalah petanda baik untuk perkembangan selanjutnya buat futsal Indonesia.”

“Saya fikir membangunkan pasukan kebangsaan Indonesia akan mengambil banyak masa dan tidak lama lagi kita akan melihat perubahan yang lebih jelas dalam pasukan ini. Dengan visi yang ditunjukkan, sangat bagus,” tambah Mohamed Hashemzadeh lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Kejuaraan Futsal AFF 2022:

Futsal AFF 2022: Kebangkitan Dramatik Thailand Buat Indonesia ‘Merana’

Futsal AFF 2022: Ledakan Berbisa Osamanmusa Bawa Thailand Ke Final

Futsal AFF 2022: Taktikal ‘Powerplay’ Menjadi, Myanmar Bergelar Juara Kumpulan