Permulaan mengecewakan ketika tewas 0-1 kepada PJ City FC diharapkan tidak berpanjangan buat Melaka United FC yang mahu bangkit pada aksi kedua Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, pada Selasa.

Menurut Hasbullah Abu Bakar, dia dan rakan-rakan akan cuba perbaiki sebarang kelemahan yang terjadi pada perlawanan pembukaan sambil menyifatkan mereka dalam fasa penyesuaian membina persefahaman selepas mengambil kira kehadiran 50 peratus pemain baharu.

Jelas bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) berkenaan, dia mempunyai keyakinan tinggi skuad Melaka United musim ini mampu beri cabaran sengit di pentas Liga Malaysia berdasarkan limpahan pemain berkualiti serta berpengalaman berbanding musim lalu.

” Memang segalanya tidak menjadi semasa berdepan PJ City tempoh hari dan kami sangat kecewa kerana tidak dapat meraih sebarang mata pada perlawanan pertama.

” Mungkin ada perubahan daripada jurulatih (Risto Vidakovic) untuk perlawanan dengan Penang namun saya dan pemain-pemain bersedia mengikut apa jua perancangan diatur oleh beliau.

” Kami datang ke Penang dengan matlamat memburu kemenangan dan bukan sekadar mahu mencari satu mata kerana dengan itu sahaja mampu memulihkan moral pasukan.

” Melihatkan barisan pemain baharu di Melaka, saya percaya kami boleh melakar pencapaian yang lebih positif berbanding musim lalu,” katanya.

Kredit Foto: Melaka United Football Club

Melaka yang dibarisi ramai pemain berpengalaman seperti Ifedayo Omosuyi,Mohd. Fadhli Shas, Sony Norde dan Norshahrul Idlan Talaha gagal menjinakkan PJ City walaupun menguasai sebahagian besar perlawanan selepas gol tunggal S.Kumaahran menjadi medan pemisah buat kedua-dua pasukan.

Pada perlawanan itu, Hasbullah telah diberi peranan selaku ketua pasukan dan pelantikan itu sememangnya satu mengejutkan buat pemain berusia 28 tahun berkenaan.

Ujarnya, ini pertama kali dia mendapat kepercayaan selaku ketua pasukan sepanjang bergelar pemain profesional sambil menyifatkan sebagai satu pengalaman baharu dalam karier.

” Saya memang akui sangat terkejut sebelum perlawanan dengan PJ City apabila mendapat kepercayaan selaku ketua pasukan kerana tidak pernah terfikir.

” Tidak dinafikan memang sedikit terbeban juga dengan tanggungjawab ini kerana saya rasa masih ramai dalam pasukan layak mengambil tempat saya.

” Namun saya akan cuba terbaik memainkan tugas ini demi Melaka di samping memohon sokongan rakan sepasukan,” katanya.

Selain aksi antara Penang dan Melaka, empat lagi perlawanan Liga Super turut berlangsung pada Rabu antaranya membabitkan Sabah FC-PJ City FC di Stadium Likas serta TerengganuFC -Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin,Kuala Terengganu.

Dua lagi perlawanan lain ialah Johor Darul Ta’zim dan Sarawak United FC (Stadium Sultan Ibrahim) serta Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC (Stadium Darul Aman)