Kelab Bola Sepak Lion City Sailors (LCS) hari ini mengumumkan kapten Singapura, Hariss Harun sebagai pemain baharu bagi memperkuatkan jentera tengah pasukan itu.

Pemain yang berusia 31 tahun itu telah menandatangani kontrak selama 3 tahun setengah bulan dengan yuran perpindahan yang tidak didedahkan dari Johor Darul Ta’zim (JDT).

Hariss menyertai JDT pada musim 2014 selepas menjulang gelaran Liga Super Malaysia bersama LionsXII dan kemudian memenangi tujuh lagi kejuaraan liga berturut-turut, Piala AFC 2015 bersejarah dan sembilan lagi trofi domestik di Malaysia.

Beliau juga sebelum ini pernah dipinjamkan ke Home United (nama lama LCS) pada musim 2017 dan membantu pasukan itu raih kedudukan ketiga dalam saingan S. League dan naib juara Piala Singapura.

“Saya gembira dapat pulang. SPL adalah tempat saya mula membina karier saya, dan sangat menggembirakan untuk menjadi sebahagian daripada visi Lion City Sailor untuk menjadi sebuah kelab bertindak sebagai kebangkitan bola sepak Singapura,” kata Hariss.

“Saya tidak sabar untuk beraksi dengan Sailor, dan saya berharap dapat membantu mereka meraih pelbagai kejayaan di padang,” tambahnya.

CEO Lion City Sailor, Chew Chun-Liang menyifatkan kehadiran Hariss Harun telah memberikan semangat tambahan untuk menjayakan projek mereka.

“Hariss adalah seorang  pemain profesional yang telah menunjukkan bahawa dia adalah pemimpin di bilik persalinan dan juga di padang, dan kami menantikan sumbangannya untuk menjayakan projek Lion City Sailors.

“Senang bekerjasama dengan rakan JDT kami untuk menyelesaikan perpindahan ini yang akan membawa kapten pasukan kebangsaan Singapura ke kelab kami, dan bertanding dalam pertandingan domestik.

“Hariss mempunyai semua kualiti yang dimahukan. Kami gembira menyambut Hariss kembali ke Singapura,” kata Chew.

Hariss akan menjalani latihan dengan kelab itu pada bulan Jun selepas cuti rehat perlawanan antarabangsa.

Baca artikel lain mengenai Hariss Harun melalui pautan dibawah.

Hariss Harun Ditawar Biasiswa University of Coventry, Persediaan Selepas Tamat Karier Pemain Bola Sepak

Hariss Harun Beri Bayangan Bakal Tinggalkan Johor Darul Ta’zim?

Hariss Harun Kecewa Banyak Kerusi Kosong Di Larkin