Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) semalam mengumumkan kapten pasukan negara itu, Harris Harun telah disahkan positif COVID-19 selepas menjalani ujian PCR pada minggu ini.

Harris kini sedang dikuarantin dan tahap kesihatannya berada dalam pemantauan pakar kesihatan Singapura sekaligus terlepas kem latihan pusat di Dubai sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

Menurut kenyataan rasmi, semua pemain dan pegawai pasukan telah selesai menjalani ujian PCR dan keputusan negatif membolehkan mereka semua berlepas ke Dubai, UAE pada hari ini.

Mereka akan berada di sana selama 10 hari sehingga 17 November. Selain itu, Singapura turut akan menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukan ranking 96 dunia, Kyrgyzstan dan pilihan Liga Morocco.

Ketiadaan Harris Harun dijangka akan menjejaskan perancangan Ketua Jurulatih, Tatsuma Yoshida untuk menguji taktikal baharu disamping membentuk keserasian bersama pemain lain.

“Kem latihan ini akan memberi peluang kepada kami untuk menentang pasukan negara lain. Ini sangat penting dan menjadi sebahagian daripada persiapan kami,” kata Tatsuma dalam kenyataan rasmi.

“Beberapa pemain seperti Safuwan Baharuddin dan Ikhsan Fandi akan menyertai kami di Dubai. Mereka sudah lama tidak bersama pasukan selama hampir 2 tahun dan kami tidak sabar untuk menanti kedatangan mereka.

“Di Dubai, kami akan menilai prestasi mereka dan memberi peluang kepada pemain untuk membentuk keserasian serta menguji keupayaan mereka dalam perlawanan,” tambah Tatsuma.

Singapura

27 pemain yang dipilih mula menjalani latihan pusat sejak 25 Oktober 2021, dua minggu selepas tamat Liga Premier Singapura (SPL) musim 2021. Walaupun kempen Piala Suzuki AFF 2020 bermula pada 5 Disember, namun mereka membuat persiapan lebih awal untuk memastikan setiap pemain lebih bersedia dari segi fizikal dan kecergasan.

Paling menarik, Singapura kali ini mempunyai seorang pemain naturalisasi dari Korea Selatan, Song Ui-young dari kelab Lion City Sailors. Ini merupakan panggilan pertama Song Ui-young selepas mendapat status warganegara yang sah pada 20 Ogos lepas.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Suzuki AFF melalui pautan dibawah. 

Indonesia Berkampung Di Turki Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Stadium Nasional Dan Stadium Bishan Dipilih Sebagai Venue Rasmi Piala Suzuki AFF 2020

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa