Kelab gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi terlepas peluang untuk mengukuhkan cengkaman di tangga teratas Liga Super Malaysia 2021 apabila sekadar terikat 1-1 pada pertemuan menentang Kuala Lumpur (KL) City, sebentar tadi.

Tumbang pada perlawanan minggu lalu bertemu Terengganu, skuad bimbingan Benjamin Mora itu sudah pastinya ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dengan misi besar untuk meraih kemenangan.

Namun, tugas mereka tidaklah semudah yang disangka apabila skuad tuan rumah turut tampil dengan aksi baik berikutan beberapa percubaan dan gerakan menarik dijelmakan.

Ia jelas dibuktikan apabila Kuala Lumpur menghadirkan ancaman seawal minit kedua tetapi percubaan Hadin Azman setelah menerima hantaran lintang daripada Akram Mahinan sekadar melewati palang.

Kemudiannya giliran JDT pula terlepas dua peluang terbaik pada minit ke-17 dan 39 setelah rembatan Leandro Velasquez dan Gonzalo Cabrera hanya singgah di palang dan tiang gol.

Aksi semakin menarik selepas pemain sayap Kuala Lumpur, Fakrul Aiman melakukan larian solo lalu meledakkan rembatan dalam kawasan penalti tetapi dinafikan Farizal Marlias.

Romel Morales akhirnya membuatkan kem JDT terkedu buat seketika apabila pemain import kelahiran Colombia itu tenang menolak masuk bola bagi menewaskan Farizal setelah beliau menerima hantaran menerusi tandukan dilakukan Fakrul Aiman pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Bersambung aksi babak kedua, Hadin Azman hampir melebarkan kedudukan pada minit ke-48, namun rembatan kaki kiri bekas pemain JDT itu ditepis keluar Farizal Marlias yang sudah bersedia untuk menyelamatkan gawangnya.

Tidak mahu terus ketinggalan, juara tujuh musim berturut-turut itu tampil dengan lebih kemas dan menguji gawang Kuala Lumpur pada minit ke-50. Bagaimanapun, rembatan dalam kawasan penalti diledakkan Arif Aiman Mohd Hanafi dihalang penjaga gol, Kevin Ray Mendoza.

Hariss Harun menyelamatkan maruah JDT daripada mengalami kekalahan kedua berturut-turut selepas tandukannya berpunca daripada sepakan penjuru diambil Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-55 berjaya menewaskan penjaga gol kacukan Filipina-Denmark itu.

Aksi selepas itu menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha keras untuk melakarkan kemenangan tetapi ia gagal membuahkan hasil untuk KL City dan JDT berpuas hati dengan satu mata.

Keputusan ini juga menyaksikan JDT kini mengumpul 24 mata, hanya satu mata di hadapan pasukan tangga kedua, Kedah yang mencatatkan kemenangan 3-1 bertemu Melaka United dalam satu lagi aksi sebentar tadi.

Sementara itu, Terengganu  berpeluang untuk berkongsi mata dengan JDT sekiranya skuad bimbingan Nafuzi Zain itu mencatatkan kemenangan ke atas Penang di Gong Badak, malam nanti.