Ketua pasukan Singapura, Hariss Harun tanpa berselindung mengakui kecewa melihat keputusan skuad yang diketuainya tewas 1-4 pada aksi terakhir kumpulan B Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 bertemu Malaysia, malam tadi.

Ketika hanya memerlukan keputusan seri untuk layak ke separuh akhir, Singapura akhirnya pulang hampa selepas dilihat gagal untuk menyaingi ketangkasan pemain Malaysia dengan berbekalkan puluhan ribu sokongan peminat sendiri.

Hariss yang berpengalaman selama sembilan musim beraksi dalam kancah Liga Super Malaysia turut melihat banyak perkara perlu dipelajari skuad kendalian Takayuki Nishigaya itu.

“Sememangnya, kami kecewa dengan keputusan yang dicatatkan ini,” ujar Hariss bercakap kepada laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Singapura.

“Saya merasakan kami telah menyukarkan diri kami sendiri. Kami cuba untuk bermain dengan sedikit terbuka pada separuh masa kedua untuk mencuba dan mendapatkan jaringan pertama.”

“Dan mereka [Malaysia] kembali melakukan serangan dan berjaya mendapatkan tiga lagi jaringan. Keadaan tersebut jelas sangat sukar dan keputusan itu tidak boleh menipu.”

“Pada asasnya kami perlu kembali dan belajar daripada kekalahan ini dan akan bangkit untuk menjadi sebuah pasukan yang lebih baik,” ujar Hariss Harun lagi.

Singapura yang merupakan juara empat kali saingan bagaimanapun memulakan kempen dengan dua kemenangan iaitu ke atas Myanmar 3-2 dan Laos dengan keputusan 2-0 malah turut berjaya mengikat juara kumpulan, Vietnam tanpa jaringan di Stadium Jalan Besar.

Kegagalan meraih mata bertemu Malaysia itu sekali gus menyaksikan Singapura gagal untuk mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir pada edisi lalu.