Menjelang perlawanan separuh akhir pertama saingan Piala Malaysia 2019 antara Johor Darul Ta’zim menentang Selangor, ketua pasukan JDT, Hariss Harun menegaskan rakan sepasukan di bahagian tengah, Afiq Fazail bakal memainkan peranan besar.

Menurut Hariss, kemampuan Afiq untuk membaca corak permainan lawan bakal menjadi satu aset kepada pasukannya untuk mengekang gerakan serangan pasukan Selangor.

Hariss
Sumber Gambar: JST

“Pendedahan diraih Afiq sepanjang bersama JDT mematangkan pemain itu. Malah dia tidak kekok ketika beraksi di pentas antarabangsa terutama saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), baru-baru ini dan saya begitu selesa bergandingan bersamanya.

“Afiq bukan sahaja mampu menguasai permainan di posisi tengah malah dia boleh bertindak sebagai penjaring dan saya percaya dia akan menyerlah pada perlawanan itu nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Harris
Sumber Gambar: Getty Images

Pada masa yang sama, pemain skuad kebangsaan Singapura itu mengakui perlawanan menentang Selangor akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Namun, beliau yakin rakan sepasukan yang lain akan memberikan komitmen penuh.

Hariss menambah penting untuk JDT meraih kemenangan di laman sendiri malam ini untuk dijadikan sebagai bekalan kerana Selangor dilihat mampu untuk mencipta kejutan apabila beraksi di laman sendiri.

Satu lagi perlawanan separuh akhir melibatkan pasukan Pahang yang akan menentang Kedah.