Malam bersejarah!

Peminat bola sepak tempatan bersorak gembira apabila skuad Harimau Malaya berjaya menewaskan Bangladesh, 4-1 dalam aksi terakhir Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kemenangan tersebut menyaksikan pasukan kendalian Kim Pan Gon menamatkan penantian selama 43 tahun untuk layak secara merit ke pentas kejohanan paling berprestij di Asia itu selepas kali terakhir melakukannya pada 1979 ketika Kelayakan Piala Asia 1980.

Dalam perlawanan  itu, skuad Harimau Malaya terlebih dahulu membuka akaun jaringan melalui sepakan penalti yang disempurnakan oleh Safawi Rasid pada minit ke 16 selepas Matthew Davies menerima terjahan keras daripada pemain lawan.

FOTO: PFAM (Syamil Rosli)

Safawi juga hampir menjaringkan gol kedua untuk negara pada minit ke 18 namun tandukkannya berjaya ditepis oleh penjaga gol Bangladesh, Anisur Rahman. Anisur juga cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya jentera serangan skuad negara.

Pada minit ke 32, Stadium Nasional Bukit Jalil bergema dengan sorakan penyokong Bangladesh apabila pasukan mereka berjaya menyamakan kedudukan melalui tandukan Mohammad Ibrahim yang mudah menewaskan Syihan Hazmi.

Bagaimanapun, kegembiraan penyokong pelawat itu tidak bertahan lama apabila Dions Cool memanfaatkan peluang keemasan dengan melakukan rembatan leret dari sebelah kanan sehingga menewaskan Anisur Rahman untuk gol kedua Malaysia pada minit ke 37.

FOTO: PFAM (Syamil Rosli)

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama. Satu minit selepas separuh masa kedua bermula, Malaysia terus bangkit mengandakan asakan dan berjaya menambah gol ketiga menerusi tandukan Syafiq Ahmad hasil hantaran cantik faisal halim dari luar kotak penalti.

Menyedari serangan skuad Harimau Malaya semakin kendur, ketua jurulatih, Kim Pan-gon membuat pertukaran pemain dengan memasukkan Darren Lok. Akhyar Rashid dan Nazmi Faiz bagi menggantikan tempat Faisal Halim, Syafiq Ahmad dan Safawi Rasid.

Percaturan itu membuahkan hasil apabila Darren Lok berjaya menambah gol keempat pada minit ke 72 selepas menyudahkan hantaran cantik Akhyar Rashid dari sebelah kanan.

Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus memastikan Harimau Malaya menempah tiket ke Piala Asia 2023 menerusi slot tempat kedua terbaik kumpulan selepas mengumpul 6 mata serta mempunyai kelebihan dari segi perbezaan jaringan.

Malaysia pernah bertanding dalam Piala Asia selaku tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam pada tahun 2007 namun ketika itu sekadar menjadi pasukan belasahan sehingga mengundang pelbagai kecaman dan kritikan.

Diharapkan tragedi tersebut tidak berulang lagi dalam kempen Piala Asia 2023 dan skuad Harimau Malaya membuat persiapan yang lebih rapi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan melalui pautan dibawah.

Menteri Anggap Sorakan Penyokong Punca Pemain Harimau Malaya Hilang Fokus

Syafiq Ahmad Mahu Buktikan Kemampuan Jika Diberikan Peluang Beraksi

Khalid Ali Bimbang De Paula Tak Tahu Fungsinya Sebagai Penyerang Utama

Amaran Presiden FAM Kepada Pemain: “Jangan Lena Dibuai Dengan Sanjungan Dan Pujian”