Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan pihaknya merancang untuk mengadakan dua perlawanan persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada bulan Mac depan.

SSI yang berkapasiti 40,000 dilihat sebagai lokasi paling sesuai untuk menganjurkan perlawanan antarabangsa kerana mempunyai kemudahan berkelas dunia selain memiliki padang yang berkualiti.

Ia adalah venue sementara kerana Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) bakal ditutup untuk kerja-kerja penanaman rumput baharu jenis Zeon Zoysia bagi menggantikan rumput lembu (cow grass) bermula pada bulan depan.

Menurut Hamidin, skuad kendalian Kim Pan-gon itu akan menentang pasukan di ranking 135 dunia, Turkmenistan dan satu lagi lawan yang diumumkan kemudian iaitu Taiwan atau Kuwait pada bulan Mac.

“Sebenarnya untuk perlawanan persahabatan bulan Mac ini insyaAllah kita akan bermain di Johor di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), bulan Jun pula kemungkinan kita akan main satu perlawanan di Johor dan kita akan pergi ke Terengganu (Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin) atau Kedah (Stadium Darul Aman) atau Pulau Pinang (Stadium Batu Kawan atau Stadium Bandaraya).

“Pada bulan September, Pan-gon akan bawa pasukan bermain di luar negara mungkin di Hong Kong atau China. Manakala pada bulan Oktober ketika kejohanan Pestabola Merdeka kita akan main di SNBJ kerana kita mahu cuba rumput baru,” katanya.

Kim Pan-Gon
Kredit Foto: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)

Hamidin turut berkata, FAM akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung jadual perlawanan melibatkan skuad Harimau Malaya tahun ini, selewat-lewatnya awal minggu depan.

“Kita harap minggu depan kita akan dapat umumkan senarai pasukan yang sah akan menentang Malaysia nanti,” jelasnya.