Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Skuad Harimau Malaya hanya mempunyai tempoh yang singkat untuk membuat persiapan rapi bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF yang dijadual berlangsung bermula pada 5 Disember 2021 di Singapura.

Menurut kenyataan daripada ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe dalam Bernama, skuad Harimau Malaya mempunyai dua hingga tiga hari untuk persiapan pasukan selepas mengambil kira jadual padat perlawanan Piala Malaysia 2021.

Menurut jadual, pasukan negara akan berkumpul selepas tamat saingan separuh akhir Piala Malaysia pada 26 November 2021. Manakala pemain daripada kelab yang layak ke final Piala Malaysia akan menyertai kem latihan pusat selepas 30 November 2021.

“Jika dapat pasukan penuh 1 Disember baru kita dapat mulakan latihan. Pemain-pemain yang beraksi di final (Piala Malaysia) mesti perlukan dua atau tiga hari untuk proses pemulihan, jadi kita hanya ada dua atau tiga hari untuk persiapan pasukan,” kata Tan Cheng Hoe kepada Bernama. 

Jadual

Tan Cheng Hoe risau dengan pemain Harimau Malaya keletihan dan mengalami kecederaan serius. Sumber Gambar: Stadium Astro

Selain itu, Tan Cheng Hoe turut menyuarakan kebimbangan terhadap faktor kecederaan dan keletihan pemain.

Menurutnya, kedua-dua faktor itu boleh terjadi kepada mana-mana pemain berikutan jadual padat Piala Malaysia yang akan berakhir pada 30 November ini manakala Malaysia memulakan saingan Kumpulan B berdepan Kemboja pada 6 Disember.

“Sebagai jurulatih saya bukan risaukan prestasi pasukan sebaliknya keletihan dan kecederaan pemain. Kalau kita tengok jadual Piala AFF yang ditetapkan kita kena ikut saja… jadi saya harap semua pemain yang datang (dikumpulkan) dalam keadaan terbaik.

“kerana (dalam kempen Piala Malaysia) selang tiga hari main satu perlawanan dan jika pemain itu merupakan pemain tetap dalam pasukan dan bermain sampai ke perlawanan akhir, jadi dalam sebulan mereka sudah main sembilan perlawanan,” jelasnya.

Skuad negara kemungkinan akan berangkat ke Singapura lebih awal bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan proses kuarantin yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negara itu.

Sepanjang 12 edisi sebelum ini, Malaysia hanya sekali pernah bergelar juara pada edisi 2010 ketika dibimbing Datuk K. Rajagobal dan tiga kali muncul naib juara iaitu pada edisi 1996, 2014 dan 2018.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Tawaran TMJ Uruskan Skuad Harimau Malaya Ditolak

Merchandise Rasmi Harimau Malaya Kini Boleh Didapati Di Al-Ikhsan Sports

FAM Tangguh Pengambilan Pemain Naturalisasi Untuk Harimau Malaya

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group